CUCU kepada bekas diktator Uganda, Idi Amin, mencuri perhatian menjelang penampilan sulungnya di Sukan Komanwel apabila berjanji untuk muncul sebagai “Raja Baharu Scotland” dalam saingan tinju kelas heavyweight.
Aziz Abdul, 25, yang lebih dikenali dengan gelaran “Ringo”, dijadualkan menentang petinju England, Damar Thomas, dalam aksi pembukaannya di temasya itu.
Menurut Aziz, beliau berbangga meneruskan legasi datuknya dalam sukan tinju dan menyifatkan Idi Amin sebagai sumber inspirasi terbesar sepanjang kariernya.
Beliau berkata pencapaian datuknya sebagai juara tinju kelas light-heavyweight Uganda selama hampir sedekad menjadi dorongan utama untuk mengikut jejak langkah tersebut. Aziz turut menegaskan bahawa beliau seorang pejuang sejati dan berbangga menjadi pewaris keturunan Idi Amin.
Kenyataan Aziz itu menarik perhatian kerana latar belakang datuknya yang pernah memerintah Uganda dari tahun 1971 hingga 1979, namun pemerintahannya dikenang sebagai antara rejim paling kejam di Afrika.
Sepanjang tempoh pemerintahannya, dianggarkan kira-kira 300,000 orang dibunuh dalam pelbagai tindakan kekerasan yang dikaitkan dengan rejim tersebut.
Idi Amin sendiri mempunyai sejarah sebagai petinju sebelum memasuki ke arena politik. Selain terkenal dengan minatnya terhadap Scotland, beliau sering mengenakan kilt tartan dan bermain bagpipe. Malah, beliau pernah menggelarkan dirinya sebagai “Penakluk Empayar British”, mencerminkan kecenderungannya membuat kenyataan yang penuh retorik.
Aziz dilihat mewarisi keyakinan yang sama apabila menyatakan hasrat untuk menakluk Scotland menerusi kejayaan di Sukan Komanwel.
Pertembungan antara Aziz dan Thomas kini bukan sahaja menarik perhatian peminat tinju, malah turut menjadi tumpuan kerana kaitan keluarga Aziz dengan salah seorang tokoh paling kontroversi dalam sejarah moden Afrika.
-BTSMedia.my



