BTS Media

Farik Amin lakar penyeksaan oleh CIA di Teluk Guantanamo

SEORANG rakyat Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo di bawah kendalian Amerika Syarikat melakar pelbagai bentuk seksaan yang dikenakan ke atasnya, ketika disoal oleh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Farik Amin membuat lakaran itu dalam tempoh lima tahun terakhir penahanannya, atas nasihat peguamnya, Christine Funk.

Lakaran itu kemudian diserahkan kepada mahkamah tentera AS di Teluk Guantanamo, ketika kes dia dan seorang lagi rakyat Malaysia, Nazir Lep, dibicarakan pada Januari.

Lakaran yang telah dinyahrahsiakan itu diserahkan kepada mahkamah dalam usaha beliau memohon hukuman diringankan.

Menurut undang-undang mahkamah tentera, juri boleh pertimbangkan ‘sifat dan tempoh penahanan sebelum perbicaraan’ apabila menentukan hukuman sewajarnya atau mengesyorkan belas kasihan.

Pada Januari, Farik, 49, dan Nazir, 48, masing-masing dipenjarakan selama 23 tahun atas peranan mereka dalam pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002 yang meragut 202 nyawa. Mereka mengaku bersalah susulan perjanjian pra-perbicaraan dengan pihak pendakwaan, yang membolehkan mereka dihantar ke negara ketiga dan dibebaskan selepas lima tahun.

Kedua-dua lelaki itu mengaku berpakat dengan seorang warga Indonesia, Encep Nurjaman, yang dikenali sebagai Hambali, dalang di sebalik pengeboman itu. Mereka turut memberikan keterangan dalam perbicaraan Hambali, yang dijadualkan pada Mac tahun depan.

Menurut dokumen yang dinyahrahsiakan, kedua-dua tahanan itu beritahu mahkamah tentang kaedah kejam dan tidak berperikemanusiaan yang digunakan oleh ejen CIA, semasa mereka dalam tahanan bersendirian di sebuah penjara rahsia di Afghanistan. Mereka ditahan selama di sana selama tiga tahun setengah selepas tangkapan di Thailand pada 2003.

Farik kata dia dibogelkan dan digari. (Gambar US Military Commissions Defence Organisation)

 

Farik beritahu mahkamah bahawa dia diseksa sejurus selepas dia ditahan di Bangkok.

“Saya dibogelkan dan digari manakala kaki saya dirantai pada lantai selama berbulan-bulan. Saya tak boleh bergerak dalam sel. Saya buang air dalam keadaan itu. Sepanjang masa saya hanya dengar bunyi dengung,” katanya menjawab soalan Funk, menurut nota mahkamah.

Farik kata dia ditumbuk, disakiti, dan diaibkan sepanjang tempoh berkenaan. Apabila dia cuba menutup kemaluannya, seorang ejen akan menepis tangannya.

“Saya mengalami mimpi buruk sepanjang masa,” menurut dokumen itu.

Lakaran Farik diambil gambar dalam keadaan bogel. (Gambar US Military Commissions Defence Organisation)

 

Antara lakaran yang ditunjukkan kepada mahkamah memaparkan tangannya diikat di belakang badan dalam keadaan mencangkung, dengan penyapu di celah lutut. Satu lagi lakaran memaparkan tangannya yang terikat diangkat ke atas kepala dan tidak dibenarkan tidur.

Satu lagi lakaran memaparkan empat pengawal penjara memegang kaki dan tangannya sambil seorang ejen CIA mencurah air pada muka dan badannya.

Mengaku bersalah

Farik berkata dia mengambil tanggungjawab atas tindakannya pada 2014. Dia beritahu seorang pakar psikiatri bahawa pandangannya berubah selepas menyedari dia tidak mampu ubah dunia.

Lakaran Farik memaparkan dia dicurah air oleh ejen CIA. (Gambar US Military Commissions Defence Organisation)

Pakar tersebut, Hawthorne E Smith, berkata Farik menjadi seorang pemuda yang idealistik dan sanggup berkorban untuk kepercayaannya, yang dia percaya diancam pada ketika itu.

Smith kata Farik menulis kepada beliau selama sembilan bulan, sebelum membuat keputusan untuk mengaku bersalah.

“Katanya dia mahu buat sesuatu yang bermakna untuk kepercayaannya dan keluarga semasa di usia remaja. Pada ketika itu lah dia pertimbangkan jihad untuk melindungi kepercayaannya. Dia seorang Muslim yang idealistik.

“Farik berkata sepanjang 20 tahun lalu, dia telah berubah. Dia bukan lagi seorang pemuda yang berang. Dia sudah berubah.

“Dia rasa lebih bahagia dan lebih yakin pada agamanya. Dia merancang untuk melalui sisa hidupnya sebagai seorang Muslim yang baik dan aman,” kata Smith, menurut dokumen.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/12/27/farik-amin-lakar-seksaan-di-teluk-guantanamo/

Leave a Comment