BTS Media

Dakwaan ‘wilayah Israel’ di Phuket cetus tindakan tegas Thailand

KERAJAAN Thailand memperhebat operasi terhadap perniagaan milik warga Israel di Phuket selepas seorang lelaki mendakwa sebuah pusat komuniti Yahudi di Patong merupakan “wilayah Israel”, ketika sepasukan pegawai kerajaan menjalankan pemeriksaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Polapee Suwannachawi, menegaskan bahawa seluruh wilayah Thailand tertakluk kepada undang-undang negara itu, sambil menolak sebarang dakwaan yang boleh ditafsirkan sebagai tuntutan kedaulatan asing ke atas tanah Thailand.

Kejadian itu berlaku pada 25 Julai ketika beliau mengetuai operasi bersama pegawai Kementerian Dalam Negeri, polis imigresen dan polis pelancong di Chabad House di Patong, Daerah Kathu. Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesan kegiatan perniagaan tanpa lesen serta penggunaan pemegang saham proksi bagi menyembunyikan pemilikan asing.

Menurut laporan media tempatan, seorang lelaki di premis berkenaan mempersoalkan sama ada pegawai terbabit menyedari bahawa kawasan itu adalah “wilayah Israel”. Sebagai respons, Polapee menegaskan bahawa Thailand tidak akan membenarkan mana-mana pihak mendakwa hak ke atas wilayah negara itu dan semua individu di bumi Thailand wajib mematuhi undang-undang yang sama.

Beliau turut menekankan bahawa kerajaan tidak mendiskriminasi mana-mana kewarganegaraan, agama atau sumber pelaburan, malah warga asing bebas tinggal, beribadat dan menjalankan perniagaan di negara itu selagi mematuhi undang-undang Thailand.

Susulan kejadian tersebut, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pemeriksaan diperluaskan terhadap lebih 360 premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan pemilikan asing melalui proksi. Operasi itu melibatkan hotel, vila mewah, restoran, syarikat pelancongan serta pelbagai perniagaan lain yang disyaki melanggar undang-undang.

Kementerian itu dlmemberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil sepenuhnya terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah bagi melindungi persaingan adil untuk rakyat Thailand serta mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.

Chabad House di Patong merupakan antara beberapa pusat komuniti Yahudi di bawah Chabad Foundation of Thailand yang menyediakan kemudahan keagamaan, makanan halal Yahudi (kosher) dan bantuan penginapan kepada pelancong Israel. Pihak berkuasa sebelum ini pernah melakukan pemeriksaan di pusat berkenaan dan menegaskan bahawa kebebasan beragama dilindungi oleh perlembagaan, namun sebarang aktiviti perniagaan tetap perlu mematuhi undang-undang negara.

Operasi di Phuket adalah sebahagian daripada kempen terbesar Thailand bagi membanteras penggunaan syarikat proksi untuk menyembunyikan pemilikan asing. Pihak berkuasa mengenal pasti lebih 11,000 syarikat di pulau itu yang disyaki mempunyai kaitan dengan pemegang saham proksi, manakala operasi serupa turut diperluaskan ke Chiang Mai dan Bangkok.

BTSMedia.my

Leave a Comment