BTS Media

Tumpas sindiket senjata api licik, polis rampas senjata bernilai RM360,000

POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan senjata api yang dipercayai beroperasi sejak tahun 2019 selepas menahan lapan individu, termasuk seorang penjawat awam, serta merampas pelbagai senjata dan peluru bernilai kira-kira RM360,000 dalam beberapa operasi di Perlis, Perak dan Kedah.

Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim berkata, operasi yang dijalankan antara 1 hingga 20 Julai itu melumpuhkan rangkaian sindiket berkenaan hasil kerjasama risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen Perlis, Perak dan Kedah.

Beliau berkata, tindakan itu bermula susulan penahanan seorang lelaki di Sitiawan, Perak pada 1 Julai sebelum membawa kepada beberapa serbuan di Beseri berhampiran Padang Besar, Kangar, Kuala Perlis dan Lunas, Kulim.

Menurutnya, polis merampas lapan laras senjata api yang terdiri daripada tiga pistol berkaliber 9mm, dua senapang patah dan tiga raifal berkaliber .22, selain 21 laras senjata Airsoft membabitkan 11 raifal dan 10 pistol, serta sepucuk senapang angin buatan sendiri.

Beliau berkata, turut dirampas ialah ratusan butir peluru hidup pelbagai kaliber, hampir 9,000 kelongsong peluru, selain pelbagai komponen dan aksesori senjata api.

Katanya, siasatan mendapati semua senjata api itu dipercayai diseludup masuk dari sebuah negara jiran sebelum diedarkan kepada rangkaian tertentu di utara Semenanjung Malaysia. Sindiket berkenaan juga dipercayai menggunakan beberapa lokasi sebagai tempat menyimpan senjata api dan peluru bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Muhammad berkata, tiga daripada suspek telah didakwa di mahkamah, manakala lima lagi masih disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama risikan antara JSJ kontinjen Perlis, Perak dan Kedah dalam mengenal pasti rangkaian sindiket berkenaan sebelum melumpuhkan keseluruhan operasinya.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperketat kawalan di sempadan bagi mengekang kemasukan senjata api secara haram dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menjadikan negara ini sebagai pusat transit atau hab pengedaran senjata api haram.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang kegiatan memiliki atau menggunakan senjata api secara haram bagi membantu membanteras jenayah berkaitan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment