BTS Media

Polis tumpas sindiket jual jutaan data peribadi orang ramai

PIHAK berkuasa mematahkan operasi sebuah sindiket menjual maklumat orang ramai dengan caj di antara RM1.50 hingga RM2 bagi setiap data menerusi Op Kapas.

Operasi itu hasil kerjasama polis bersama Siber Sekuriti Malaysia (CSM) dan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PPDP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Mohamed Yoosuf berkata sindiket itu dikesan beroperasi menerusi laman sesawang gelap iaitu ‘dataserver1.mypsx.net yang memiliki lebih 400 juta data milik rakyat Malaysia.

Maklumat itu membabitkan nama, nombor MyKad, alamat, nombor akaun bank dan nombor telefon.

Menurut Ramli, sindiket itu memperoleh data terbabit melalui penggodaman sebelum memberikan akses kepada penyewa portal dengan bayaran di antara RM200 hingga RM800 sebulan, selain sebahagian dijual terus pada harga RM1.50 hingga RM2.

“Susulan laporan diterima kami telah membuat tangkapan pada 5 Sept lalu melibatkan lima individu berusia 34 hingga 52 tahun terdiri daripada empat warga Malaysia dan satu warga Pakistan.

“Dua daripada mereka termasuk lelaki warga Pakistan berperanan sebagai pembangun portal serta penggodam.

Tiga individu lain iaitu ejen dan pengutip hutang yang telah membeli data-data itu, katanya pada sidang media.

Katanya, siasatan ke atas warga Pakistan berusia 47 tahun itu mendapatinya masuk ke negara ini sebagai pekerja am sejak 10 tahun lalu dan dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan sejak setahun lalu.

Suspek mempunyai latar belakang dan pengetahuan mengenai komputer dan dunia siber dan selepas beberapa tahun berada di negara ini, suspek dipercayai mula melakukan kegiatan penggodaman dan penjualan data, katanya.

Leave a Comment