BTS Media

Ahli Kongres AS ugut sekat dana ketenteraan jika Malaysia tidak ubah dasar terhadap warga Israel

SEKUMPULAN lapan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat menggesa pentadbiran Presiden AS mengambil tindakan lebih tegas terhadap Malaysia, termasuk mempertimbangkan penggantungan dana latihan ketenteraan, sekiranya Putrajaya tidak menarik balik dasar yang disifatkan mereka sebagai menyasarkan warga Israel.

Desakan itu dikemukakan menerusi sepucuk surat bertarikh 21 Julai kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang ditandatangani lapan wakil rakyat Demokrat diketuai Josh Gottheimer dan Greg Landsman.

Dalam surat itu, mereka meminta Jabatan Negara AS menyemak semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia, selain mempertimbangkan penggantungan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) jika kerajaan Malaysia tidak membatalkan dasar berkenaan dalam tempoh 15 hari.

Mereka mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang sebelum ini memberi amaran bahawa mana-mana warga Israel yang ditemui berada di Malaysia akan diusir, adalah tidak boleh diterima kerana didakwa menyasarkan individu berdasarkan kewarganegaraan.

Menurut mereka, kerajaan AS perlu menggunakan semua saluran diplomatik bagi memastikan tindakan Malaysia terhadap warga Israel mempunyai implikasi, sambil menegaskan bahawa bantuan dan sokongan Washington seharusnya disertai jangkaan supaya sekutunya tidak menjadi sasaran.

Dalam surat sama, kumpulan itu turut menuduh Malaysia mengekalkan hubungan dengan Hamas serta mendakwa anggota kumpulan itu pernah menerima latihan di negara ini. Mereka juga mendakwa Malaysia menerima pengganas tetapi menyasarkan warga Yahudi.

Kontroversi itu tercetus selepas Anwar minggu lalu mengarahkan tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan susulan dakwaan bahawa terdapat warga Israel yang menggunakan pasport kedua menetap di komuniti teknologi Network School di Forest City, Johor.

Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas dakwaan di media sosial mengenai kehadiran warga Israel di lokasi itu, sekali gus mendorong operasi penguatkuasaan dipertingkatkan pada 14 Julai.

Susulan kontroversi tersebut, pengasas Network School yang juga pelabur teknologi Amerika Syarikat, Balaji Srinivasan, memohon mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi mendapatkan jaminan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil.

Menerusi hantaran di platform X pada 16 Julai, Srinivasan berkata organisasinya telah melabur lebih RM100 juta di Malaysia, namun pelaburan tambahan daripada Network School dan pelabur lain ditangguhkan sementara menunggu penjelasan serta kepastian daripada kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa komuniti teknologi itu mematuhi undang-undang Malaysia dan menghormati kedaulatan negara.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, dan pemegang pasport negara itu lazimnya tidak dibenarkan memasuki Malaysia tanpa kelulusan khas.

Minggu lalu, Jabatan Imigresen menjalankan pemeriksaan di Network School dan mendapati kesemua 256 warga asing yang berada di situ memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengumumkan lesen perniagaan Network School dihentikan berkuat kuasa hari ini berikutan pelanggaran syarat pelesenan dan penggunaan premis.

Menurut MBIP, satu premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan, manakala sebuah lagi menggunakan premis pejabat bagi aktiviti yang tidak menepati kelulusan. Pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan bahawa papan tanda di premis berkenaan tidak sepadan dengan permit iklan yang telah diluluskan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment