AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berjaya menamatkan Larian Kesyukuran sejauh 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar hari ini, sekali gus mengumpulkan dana kebajikan berjumlah RM650,959.20, jauh melepasi sasaran awal RM200,000.
Beliau menamatkan larian empat hari bermula pada 16 Julai itu di Laman Maharani kira-kira pukul 9.15 pagi dengan sambutan lebih 2,000 penduduk yang menunggu sejak awal pagi.
Syed Saddiq memaklumkan keseluruhan dana yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan sepenuhnya bagi membantu kebajikan penduduk Parlimen Muar, termasuk penyediaan bakul makanan dan tablet kepada pelajar yang memerlukan.
Menurutnya, sokongan luar biasa yang diterima sepanjang misi berkenaan amat menyentuh hati, terutama pada 10 kilometer terakhir, selain menghargai setiap sumbangan yang diberikan tanpa mengira jumlah, termasuk sumbangan serendah 50 sen daripada seorang kanak-kanak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menamatkan larian di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Muar.
Terdahulu, Syed Saddiq memulakan laluan terakhir sejauh 17 kilometer dari Simpang Sungai Rambai, Melaka sebelum menyeberangi Jambatan Sultan Ismail menuju ke garisan penamat dengan diiringi kumpulan pelari Muo Runner.
Menurut beliau, sokongan yang diterima bukan sahaja datang daripada penduduk Muar, malah turut melibatkan orang ramai dari kawasan sekitar termasuk Batu Pahat yang hadir bagi memberi semangat sepanjang penamat misi kebajikan tersebut.
-BTSMedia.my



