LARIAN maraton sejauh 200km Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba ke garis penamat di luar bangunan Parlimen sekitar pukul 9.30 pagi tadi.
Beliau mula melakukan larian ‘Langkah Muar’ itu pada hari Jumaat lalu sebagai protes terhadap kerajaan kerana menafikan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada ahli parlimen pembangkang.
Ketibaannya di parlimen disambut oleh ahli parlimen pembangkang, yang antaranya turut menyertai beliau pada peringkat 5km terakhir, termasuk Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dan beberapa pemimpin Bersatu lain.
Sumbangan sebanyak RM160,000 diterima untuk larian tiga hari itu.
Syed Saddiq berkata, beliau berharap larian tersebut dapat membuka mata semua pihak tidak kira kawasan parlimen, berhubung isu diskriminasi peruntukan ahli parlimen pembangkang yang masih berlarutan sehingga sekarang.
“Usaha kecil ini saya mulakan di Muar. Jangan guna lagi alasan rundingan itu, rundingan ini kerana rundingan sudah berkali-kali, bukan sekali dua bahkan sudah hantar surat tiga kali.
“Ini bukan soal rundingan, tapi soal politik balas dendam sehingga menghukum rakyat susah di kawasan pembangkang. Perkara ini salah dan kena tentang bersama,” katanya.
Syed Saddiq berkata lebih 2,000 rakyat Malaysia tampil menderma.
Menurut bekas menteri itu, dia bukan saja menerima sumbangan menerusi dalam talian tetapi ada yang berjumpanya secara bersemuka untuk menyerahkan wang tunai sewaktu sedang berlari.
“Bukan sekadar sumbang dalam talian kerana sambil saya berlari, ramai berhenti bagi RM20, RM50, RM100, dan ada yang beri RM1. Amat luar biasa sekali kerana mereka tak pernah jumpa saya.
“Ada juga yang tak pernah jejak kaki di Muar, tapi saya lihat mereka ada aspirasi sama, bukan sekadar (tertumpu) di Muar, tapi Malaysia keseluruhannya.
-BTS Media