PENDIRIAN kerajaan menolak cadangan mengenakan sekatan memandu berdasarkan umur, termasuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan kepada pemandu berusia lebih 70 tahun sebelum memperbaharui lesen memandu, disifatkan sebagai langkah yang tepat dan berasaskan bukti..
Menurut lidah pengarang New Straits Times, keputusan itu dibuat selepas kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) tidak menemukan bukti konklusif bahawa dasar berasaskan umur mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara signifikan.
Akhbar itu berkata Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, turut menegaskan bahawa pendirian rasmi kerajaan adalah untuk tidak melaksanakan dasar sedemikian kerana ia tidak disokong oleh dapatan saintifik.
Menurut NST, statistik antara tahun 2020 hingga 2025 juga menunjukkan pemandu berusia 16 hingga 40 tahun terbabit dalam kira-kira 70 peratus kemalangan lebuh raya, manakala mereka yang berusia lebih 70 tahun hanya menyumbang sekitar 3.5 peratus daripada jumlah kes.
Lidah pengarang itu berkata hak memandu atau bekerja tidak sepatutnya dinafikan hanya berdasarkan usia kerana tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi, sama seperti stereotaip yang berasaskan kaum atau jantina.
NST berkata diskriminasi usia sering diterjemahkan dalam bentuk dasar institusi dan amalan sistemik seperti persaraan wajib, peluang pekerjaan yang memihak kepada golongan lebih muda serta sekatan terhadap akses kepada rawatan kesihatan.
Menurutnya, amalan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan psikologi dan fizikal warga emas, malah boleh menyebabkan rasa terasing, kemerosotan keyakinan diri serta menurunkan kualiti hidup mereka.
Sehubungan itu, akhbar berkenaan berpandangan bahawa kerajaan wajar mengekalkan pendekatan menilai setiap individu secara berasingan berdasarkan bukti perubatan dan tahap keupayaan sebenar, bukannya membuat penilaian umum semata-mata berdasarkan faktor umur.
NST berkata sistem yang lebih berkesan ialah mengenal pasti individu yang benar-benar berisiko melalui keadaan kesihatan yang disahkan, rekod kesalahan trafik yang serius atau saranan doktor, tanpa mengira usia.
Lidah pengarang itu turut menyatakan bahawa diskriminasi usia merupakan isu global, dengan sebahagian negara mengamalkan persaraan paksa, jurang gaji, proses pengambilan pekerja yang berat sebelah serta pengabaian terhadap kebajikan warga emas.
Menurut NST, kesejahteraan warga emas sepatutnya diperkukuhkan menerusi dasar yang adil dan inklusif, bukan melalui pendekatan yang menghukum mereka semata-mata kerana faktor usia.
-BTSMedia.my



