BTS Media

Pengarah Bersih dihalang masuk Sabah selepas serah memorandum tuntut RCI

PENGARAH Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, dihalang daripada memasuki Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada malam semalam selepas namanya didakwa tersenarai dalam notis amaran negeri itu. Beliau kemudiannya dihantar pulang ke Kuala Lumpur.

Menurut Malaysiakini, tindakan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Asraf bersama sekumpulan aktivis menyerahkan memorandum kepada Parlimen yang menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi hantaran di media sosial, Asraf memaklumkan beliau pada asalnya pulang ke Sabah untuk bertemu isteri serta dua anaknya selepas berada di Kuala Lumpur selama sebulan bagi menghadiri perbincangan berkaitan reformasi. Beliau berkata larangan memasuki Sabah itu amat mengecewakan, lebih-lebih lagi selepas hampir 18 tahun berulang-alik ke negeri berkenaan, termasuk selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita Sabah.

Beliau turut berkongsi bahawa anak-anaknya menunggu kepulangannya, namun hasrat untuk bertemu keluarga tidak kesampaian. Asraf menyifatkan keadaan itu sebagai satu ujian dan berpandangan bahawa perjuangan menuntut reformasi menuntut pengorbanan yang besar, termasuk terhadap ahli keluarga.

Dalam hantaran sama, beliau berkata status tersebut dikemas kini ketika menunggu untuk dihantar pulang ke Kuala Lumpur. Walaupun terdapat usaha daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan perkara itu, beliau tidak menjangkakan keadaan akan berubah dan percaya proses penghantaran pulang tetap akan diteruskan.

Selain gagal bertemu keluarga, Asraf memaklumkan beberapa rancangannya turut terjejas, termasuk hasrat mengagihkan roti yang dibelinya sebagai ole-oleh kepada penduduk Sabah serta melawat seorang rakan yang uzur.

Dalam kenyataan berasingan, Bersih menggesa kerajaan Sabah memberikan penjelasan mengenai asas tindakan berkenaan serta menarik balik sebarang sekatan yang disifatkan tidak berasas terhadap Asraf. Pertubuhan itu turut mendakwa larangan tersebut merupakan satu bentuk intimidasi dan pencabulan terhadap kebebasan asasi aktivis yang menjalankan hak mereka secara sah.

Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi dalam urusan imigresen masing-masing, termasuk kuasa menghalang individu dari Semenanjung Malaysia daripada memasuki negeri berkenaan. Bagaimanapun, kuasa tersebut sejak sekian lama menjadi perhatian pengkritik yang mendakwa ia ada kalanya digunakan untuk menghalang kemasukan aktivis serta ahli politik yang lantang mengkritik kerajaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment