PRESIDEN Muda, Amira Aisya Abd Aziz, menegaskan bahawa lima jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di Johor tidak seharusnya dijadikan sebagai modal atau bahan tawar-menawar untuk membentuk kerjasama politik.
Beliau berkata, jawatan Adun lantikan yang diwujudkan menerusi enakmen yang dibentangkan dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan Mei lalu melibatkan pembayaran gaji serta pencen menggunakan wang pembayar cukai.
Menurutnya, jawatan tersebut tidak sepatutnya digunakan sebagai alat pertukaran atau rundingan antara parti-parti politik kerana rakyat tidak wajar menanggung kesan daripada amalan sedemikian.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat gerakan Muda di Taman Ecocascadia, Johor  Baru pada hari Ahad.
Amira Aisya mengulas perkara itu ketika diminta mengulas gesaan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, supaya ahli dan penyokong parti itu mengundi calon Barisan Nasional di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri.
Beliau menjelaskan bahawa beliau memilih untuk tidak mencampuri strategi dalaman serta arahan pengundian parti-parti lain. Namun, beliau menyuarakan kebimbangan bahawa sekiranya sistem Adun lantikan diwartakan secara rasmi sebagai sebahagian daripada undang-undang negeri, ia berpotensi mewujudkan satu duluan yang tidak sihat untuk pilihan raya negeri pada masa hadapan.
Katanya, jawatan lantikan itu berisiko menjadi modal rundingan antara parti-parti politik selepas setiap pilihan raya, sekali gus menyebabkan parti memperoleh keuntungan politik manakala rakyat terpaksa menanggung akibatnya.
Amira Aisya turut mengingatkan bahawa ketika Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, membentangkan cadangan tersebut sebelum ini, alasan yang diberikan ialah bagi membolehkan kepakaran teknikal disalurkan secara langsung ke dalam Dewan Undangan Negeri.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa fungsi tersebut sebenarnya boleh dilaksanakan menerusi jawatankuasa pilihan yang bertanggungjawab membincangkan cadangan daripada pakar sebelum mengemukakannya dalam belanjawan negeri.
Beliau berkata, sekiranya sesebuah parti politik mempunyai kekuatan sebagai parti utama yang bertanding di banyak kerusi serta memiliki peruntukan yang besar dan mahu membawa kepakaran ke dalam Dewan Undangan Negeri, parti itu sepatutnya mencalonkan pakar berkenaan sebagai calon pilihan raya dan bukannya bergantung kepada jawatan Adun lantikan.
-BTSMedia.my



