KARYA penulisan idea tulen kini sering kali dilabelkan oleh aplikasi pengesan sebagai kerja dihasilkan sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang kemudian disusuli “tawaran” kononnya membantu “memanusiakan” (humanise) semula teks, dengan bayaran.
Ini merupakan kaedah penipuan digunakan oleh “scammer” yang semkain memeningkan penulis profesional.
Ini berlaku dalam konteks ledakan maklumat palsu di media sosial yang sudah pun melebihi keupayaan pemeriksa fakta profesional. Kehadiran pengesan AI yang tidak boleh dipercayai menambah satu lagi lapisan kekeliruan dalam ekosistem maklumat yang sedia terpecah.
Masalah utamanya bukan sekadar ketidaktepatan teknologi. Walaupun alat pengesan AI (AI Detector) yang sah pun boleh tersilap, penyelidik mendapati semakin banyak alat meragukan muncul di internet yang boleh disalahguna untuk menjatuhkan kredibiliti kandungan asli, termasuk tulisan wartawan, akademik dan profesional.
Pemeriksa fakta agensi berita AFP telah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga alat yang mendakwa mampu menganggarkan peratus kandungan AI. Namun, apabila diuji dalam pelbagai bahasa, alat-alat ini bukan sahaja tersalah label teks tulisan manusia sebagai dijana AI, malah cuba menjana keuntungan daripada kesilapan tersebut.
Sebagai contoh, satu alat mengklasifikasikan laporan yang ditulis manusia mengenai konflik Amerika Syarikat – Iran sebagai mengandungi “88 peratus kandungan AI”, sebelum menawarkan perkhidmatan berbayar untuk “membersihkan” teks itu. Dua lagi alat menunjukkan pola serupa, apabila memberikan keputusan palsu dan kemudian mengunci versi “100 peratus asli” di sebalik paywall.
Lebih membimbangkan, teks dalam pelbagai bahasa termasuk petikan karya klasik turut dilabel sebagai kandungan AI. Malah, teks yang tidak masuk akal juga tetap diberikan keputusan “AI”, justeru menunjukkan bahawa sistem ini tidak menjalankan analisis sebenar, sebaliknya menggunakan skrip tetap.
Menurut ahli akademik Debora Weber-Wulff, alat sedemikian bukan pengesan AI yang sah, tetapi helah untuk menjual perkhidmatan “pemurnian teks” yang akhirnya menghasilkan ayat janggal atau tidak bermakna.
Golongan sasaran penipuan ini termasuk pelajar dan penyelidik, dengan sesetengah platform mendakwa digunakan oleh institusi ternama. Namun, institusi berkenaan menafikan sebarang hubungan, sambil mengakui bahawa pengesanan kandungan AI secara tepat sememangnya sukar dan belum ada penyelesaian yang benar-benar berkesan.
Dalam amalan semakan fakta profesional, alat pengesanan, khususnya bagi imej, biasanya digabungkan dengan bukti lain seperti data sumber terbuka. Ini kerana walaupun teknologi tersebut berguna, ia tetap terdedah kepada kesilapan.
Implikasinya besar. Bacaan palsu daripada alat pengesan yang tidak boleh dipercayai bukan sahaja menjejaskan keyakinan terhadap teknologi pengesahan AI secara keseluruhan, malah membuka ruang kepada taktik yang dikenali sebagai “liar’s dividend” – iaitu menolak kandungan sah dengan mendakwa ia rekaan AI.
Bagi golongan profesional seperti wartawan, penulis dan penyelidik, keadaan ini memberi kesan langsung: hasil kerja asli yang dihasilkan dengan usaha manusia boleh dengan mudah dilabel sebagai “palsu” oleh sistem yang tidak telus. Ini bukan sahaja merosakkan reputasi, tetapi juga menghakis kepercayaan terhadap integriti kerja intelektual dalam era digital.
-BTSMedia.my



