ORANG ramai diminta berhenti mencipta atau berkongsi video palsu yang dihasil menggunakan AI, terutamanya ketika berlaku bencana.
Gesaan ini dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, sebagai respons kepada satu video palsu kejadian tanah runtuh di Paya Terubong yang kononnya memusnahkan beberapa kenderaan.
Zairil mengesahkan bahawa klip itu adalah video palsu diubah suai menggunakan AI.
Beliau berkata, tindakan sedemikian boleh mencetuskan panik dan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Dalam satu post Facebook pada hari Jumaat (24 Okt), ahli exco itu berkata beliau berharap mereka yang melakukannya bertindak secara lebih bertanggungjawab, terutamanya pada masa sensitif seperti sekarang.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa kejadian tanah runtuh dan takungan air memang berlaku di kawasan Bukit Paya Terubong, tetapi keadaannya tidak seteruk seperti digambarkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata kejadian pada pukul 2.41 petang berikutan hujan lebat itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian.
Beliau berkata, tanah dari puncak bukit menggelongsor dan memenuhi kawasan parkir kompleks perumahan berhampiran, yang kemudiannya menyebabkan air melimpah ke atas jalan raya.
Pemantauan di lokasi mendapati dua belas kenderaan berada di kawasan terjejas, dan pasukan mereka telah memberikan nasihat dan membantu pemilik kenderaan memindahkannya ke lokasi yang lebih selamat.
 – BTSMedia.my



