IRAN melancarkan serangan peluru berpandu paling dahsyat ke atas Israel, mencederakan lebih 100 orang serta menyebabkan kemusnahan besar di beberapa kawasan di selatan negara itu.
Dua peluru berpandu Iran menyasarkan bandar Arad dan Dimona, berhampiran kemudahan sensitif Israel, sekali gus menembusi sistem pertahanan peluru berpandu negara itu buat pertama kali dalam konflik semasa.
Pasukan penyelamat Israel memaklumkan bahawa ratusan mangsa cedera, dan puluhan dalam keadaan serius, manakala bangunan kediaman mengalami kerosakan teruk dan kawah besar terbentuk akibat letupan.
Serangan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan balas Iran terhadap serangan ke atas kemudahan nuklear Natanz, dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) turut menyatakan beberapa lokasi lain, termasuk sasaran ketenteraan serantau, diserang.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran juga melancarkan serangan peluru berpandu jarak jauh ke atas pangkalan Amerika Syarikat–United Kingdom di Diego Garcia, walaupun serangan itu tidak mencapai sasaran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan keadaan itu sebagai amat sukar dan berikrar kononnya akan membalas serangan Iran di semua medan, sebelum tentera Israel melancarkan serangan ke atas Teheran.
Susulan peningkatan ketegangan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi tempoh 48 jam kepada Iran supaya membuka semula Selat Hormuz.
Trump berkata bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Amerika Syarikat menyerang dan memusnahkan infrastruktur tenaga Iran, termasuk loji kuasa utama negara itu.
Selat Hormuz yang merupakan laluan penting perdagangan minyak global terjejas teruk akibat tindakan Iran, sekali gus mencetuskan lonjakan harga tenaga dunia.
Sebagai reaksi, Iran memberi amaran akan menyasarkan infrastruktur milik Amerika Syarikat dan sekutunya di rantau tersebut sekiranya serangan dilancarkan.
Konflik yang kini memasuki minggu keempat itu dilihat semakin merebak ke seluruh rantau, dengan beberapa negara Teluk melaporkan serangan udara, manakala komuniti antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
Penganalisis berpendapat keupayaan Iran untuk terus melancarkan serangan menunjukkan tahap ketahanan yang lebih tinggi daripada jangkaan, sekali gus menandakan konflik ini berpotensi berlarutan dan menjadi lebih kompleks.
 – BTSMedia.my



