BTS Media

Umat Islam dinasihat tangguh umrah susulan ketidakstabilan keselamatan di Asia Barat

UMAT Islam disaran menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu susulan ketidakstabilan keselamatan di beberapa kawasan Asia Barat sehingga keadaan kembali selamat.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata nasihat supaya menangguhkan umrah itu selaras dengan prinsip syariah hifz al-nafs, iaitu pemeliharaan nyawa apabila keselamatan tidak dapat dijamin.

Beliau menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa perlu mengutamakan kebajikan serta keselamatan rakyat.

Menurutnya, sekiranya pihak berkuasa menentukan keadaan di Tanah Suci masih selamat dan terkawal, umat Islam boleh meneruskan ibadah umrah seperti biasa. Namun, jika keadaan dianggap tidak selamat, penangguhan umrah adalah selari dengan prinsip syariah untuk melindungi nyawa.

Dalam kenyataan pada hari Sabtu, beliau menggesa umat Islam di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan merujuk maklumat rasmi, khususnya daripada Kementerian Luar Malaysia yang memantau perkembangan keselamatan antarabangsa serta mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata bahawa penilaian semula terhadap syarat istita’ah atau kemampuan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah, termasuk jaminan keselamatan nyawa serta harta, kini menjadi semakin mendesak susulan ketegangan yang berterusan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Katanya lagi, jika keadaan tidak selamat atau boleh mengancam nyawa, maka syarat kemampuan untuk menunaikan umrah dianggap tidak dipenuhi.

Sementara itu, Menteri Luar, Mohamad Hasan, sebelum ini menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah berikutan keadaan keselamatan di Asia Barat yang masih tidak stabil.

-BTSMedia.my

Leave a Comment