GAMBAR: APM
DUA ekor anjing yang dipercayai telah ditinggalkan diselamatkan dari perairan berhampiran Jambatan Pulau Pinang semalam.
Pusat operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seberang Prai Tengah dilaporkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.53 pagi melalui talian MERS daripada seorang pemanggil dikenali sebagai Rohafizi yang memaklumkan bahawa dua ekor anjing dilihat berada di dalam air berhampiran tiang P7 Tenaga Nasional Berhad (TNB) di jambatan berkenaan.
Susulan itu, sebuah pasukan respons yang terdiri daripada seorang pegawai dan empat anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut seorang jurucakap, pasukan berkenaan tiba di lokasi sebelum memulakan operasi menyelamat dengan bantuan polis marin serta nelayan tempatan.
Beliau memaklumkan bahawa kedua-dua anjing tersebut berjaya diselamatkan sepenuhnya pada pukul 11.12 pagi dengan bantuan bot milik nelayan.
Katanya lagi, haiwan berkenaan dipercayai telah ditinggalkan di lokasi tersebut.
Pasukan operasi kemudian dilaporkan kembali ke pusat operasi APM Seberang Prai Tengah pada jam 12.19 tengah hari selepas menamatkan operasi yang melibatkan jarak perjalanan sejauh 39 kilometer.
-BTSMedia.my


