SEBUAH keluarga yang terdiri daripada lima orang, termasuk tiga kanak-kanak, maut dalam satu kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub awal pagi tadi.
Kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu turut memusnahkan tiga buah kereta dan tiga motosikal.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, memaklumkan bahawa Balai Bomba dan Penyelamat Raub menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.44 pagi.
Beliau berkata seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub serta Lipis dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, rumah berkenaan musnah sepenuhnya dan mayat lima mangsa yang rentung ditemui di dalam kediaman itu.
Razam turut memaklumkan bahawa kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 4.50 pagi dan pihaknya masih menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.
-BTSMedia.my



