SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman semula seorang pendakwah bebas dan ketua jabatan kewangan serta perakaunan sebuah institusi pendidikan dan dakwah di negeri itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkomplot menyalahgunakan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
Perintah reman selama tiga hari sehingga hari Ahad, 8 Februari, dikeluarkan oleh Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di Alor Setar.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia lingkungan 30-an ditahan semula kira-kira pukul 6 petang semalam di Pejabat SPRM Sungai Petani untuk siasatan berkaitan satu lagi kes.
Kedua-dua individu itu sebelum ini direman sehari di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibebaskan pada pukul 5 petang hari yang sama.
Pendakwah bebas yang juga pengarah urusan institusi pendidikan dan dakwah tersebut, bersama suspek wanita, disyaki berkomplot menyalahgunakan dana kira-kira RM1.3 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek lelaki itu. Siasatan turut mendapati kedua-duanya didakwa meluluskan bayaran bagi pembelian sebuah rumah bernilai sekitar RM500,000.
Sehari sebelum itu, kedua-dua suspek direman berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan kira-kira RM600,000 hasil kutipan dana bagi institusi berkenaan tanpa mendapatkan kelulusan rakan kongsi lain.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Nazli Rasyid Sulong, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan bahawa siasatan yang dijalankan bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak bulan Oktober tahun lalu dibuat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
-BTSMedia.my



