BTS Media

Garis panduan baharu untuk mall mesra haiwan peliharaan tidak perlu, kata ADUN Selangor

TIADA keperluan untuk menggubal garis panduan baharu mengenai mall mesra haiwan peliharaan di Selangor.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh, cadangan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri untuk mengadakan perbincangan meja bulat bagi merangka rangka kerja khusus tentang perkara tersebut dianggap tidak perlu dan tidak sesuai kerana dasar serta peraturan yang sedia ada  mencukupi dan berkuat kuasa.

Menurut Nurul Syazwani, setiap dasar awam mestilah selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan nilai asas kenegaraan dalam Rukun Negara.

Beliau berkata usaha untuk menormalisasi kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup yang melibatkan premis makanan perlu dinilai dari sudut kebersihan menurut hukum syarak, pematuhan standard halal serta implikasi terhadap keyakinan umat Islam sebagai majoriti penduduk Selangor.

Beliau turut menegaskan bahawa undang-undang sedia ada, seperti Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan di Selangor, sudah menetapkan larangan membawa haiwan peliharaan ke premis makanan dan ruang tertutup.

Juga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi maklum balas rasmi bahawa kehadiran haiwan peliharaan di ruang tertutup boleh menjejaskan pematuhan kepada Standard Halal Malaysia.

Nurul Syazwani menegaskan bahawa kedudukan undang-undang berkaitan isu ini adalah jelas, muktamad dan berkuat kuasa, dan kerajaan negeri harus memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada daripada menggubal dasar baru.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment