BTS Media

Sultan Selangor titah hentikan penternakan babi di Tanjung Sepat

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan supaya tiada lagi operasi penternakan babi dijalankan di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa semua operasi sedia ada di kawasan itu perlu dihentikan secara berperingkat sebelum dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar, mengikut pelan tersusun serta mematuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan berkaitan.

Menurut kenyataan itu, titah berkenaan dibuat susulan sesi menghadap di Istana Bukit Kayangan yang melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim.

Sultan Sharafuddin telah meneliti secara mendalam isu berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di negeri itu dengan mengambil kira kepentingan awam, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial.

Sebagai sebahagian daripada titah baginda, Pejabat Istana memaklumkan bahawa satu kajian terperinci dan bancian menyeluruh berasaskan data perlu bagi menentukan angka sebenar serta jumlah permintaan daging khinzir khusus untuk kegunaan bukan Islam di Selangor.

Baginda juga bertitah bahawa tiada perancangan untuk mengeksport daging khinzir yang dihasilkan daripada operasi tersebut.

Menurut kenyataan itu, dapatan kajian berkenaan perlu dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan saiz operasi penternakan babi di Bukit Tagar supaya ia kekal munasabah serta terkawal.

Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan dalam operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.

Pejabat Istana memaklumkan bahawa semua perkara berkaitan perlu dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.

Baginda juga menzahirkan harapan agar semua pihak terlibat melaksanakan titah tersebut secara bertanggungjawab, berhemah dan mengikut lunas undang-undang demi memelihara kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

-BTSMedia.my

Leave a Comment