BTS Media

SPRM rampas matawang asing, jongkong emas, SUV bernilai RM6.9 juta dalam siasatan perolehan tentera

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, jongkong emas serta sebuah kenderaan SUV berprestasi tinggi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6.9 juta, susulan siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan projek perolehan tentera.

Sumber yang dipetik oleh akhbar NST memaklumkan bahawa wang tunai yang dirampas merangkumi mata wang dolar Amerika Syarikat, euro, pound British, yen Jepun dan riyal Arab Saudi.

Rampasan tersebut dibuat selepas pemeriksaan ke atas SUV berkenaan di sebuah bengkel di Lembah Klang, dipercayai tempat kenderaan itu ditinggalkan untuk tujuan pembaikan.

Menurut sumber, antara barangan yang dirampas termasuk tiga jongkong emas 999 seberat satu kilogram setiap satu dengan nilai semasa dianggarkan sekitar RM1.8 juta. Turut dirampas ialah sembilan jongkong emas seberat 100 gram setiap satu bernilai lebih RM500,000, selain SUV berprestasi tinggi yang dianggarkan bernilai kira-kira RM360,000 dan dipercayai dibeli secara tunai.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, mengesahkan rampasan berkenaan apabila dihubungi. Beliau memaklumkan bahawa kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berkaitan kesalahan meminta atau menerima suapan.

Pada 6 Januari lalu, seramai 17 pengarah syarikat direman oleh SPRM kerana disyaki terlibat dalam kartel perolehan melibatkan tentera. Suspek direman selama lima hari sehingga 10 Januari bagi membantu siasatan selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membayar rasuah kepada seorang pegawai kanan tentera sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan.

SPRM melancarkan siasatan terhadap 26 syarikat yang mempunyai kaitan dengan kontrak perolehan tentera berhubung dakwaan rasuah. Menurut sumber, pemilik kesemua syarikat tersebut turut disiasat dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan mereka akan direman bagi membantu siasatan.

SPRM memulakan siasatan ke atas kesemua 26 syarikat berkenaan di Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang pada 5 Januari.

-BTSMedia.my

Leave a Comment