DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningatkan orang ramai supaya tidak mengorbankan aspek kebersihan, susulan perkongsian imej yang memaparkan kerja-kerja pembersihan serta keadaan sampah bertaburan di sekitar Bukit Bintang.
Menerusi satu hantaran di Facebook, DBKL berkata masih terdapat segelintir individu yang membuang sampah sesukan hati di mana sahaja, sekali gus menjejaskan tahap kebersihan dan imej bandar raya.
Menurut DBKL, kerja-kerja pembersihan dijalankan di pusat bandar bagi memastikan persekitaran kekal bersih, teratur dan selesa untuk orang awam. Dalam masa yang sama, DBKL menegaskan bahawa walaupun orang ramai menikmati suasana malam yang meriah, tanggungjawab untuk menjaga kebersihan perlu terus diberi keutamaan.
Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya tidak membuang sampah merata-rata, menggunakan tong sampah yang disediakan serta menjaga kemudahan awam yang dikongsi bersama.
DBKL turut memaklumkan bahawa sikap bertanggungjawab setiap individu mampu memberi kesan besar dalam memastikan bandar raya kekal bersih.
-BTSMedia.my



