SEORANG peniaga buah di Sydney, Australia yang begitu berani menumpaskan seorang daripada penyerang bersenjata di Bondi Beach, semalam dilaporkan dalam keadaan stabil di hospital.
Dia dimasukkan ke hospital selepas pergelutan itu, kerana cedera terkena tembakan pada dua bahagian tubuhnya.
Dikenal pasti sebagai Ahmed al Ahmed, 43, dia merupakan individu yang bersembunyi di belakang sebuah kereta sebelum menyerbu penyerang dari arah belakang, merampas senapang dan menolaknya hingga terjatuh.
Polis Australia memaklumkan pada hari Isnin bahawa serangan sewaktu sambutan Hari Hanukkah masyarakat Yahudi di Bondi Beach semalam itu dilakukan oleh seorang lelaki berusia 50 tahun bersama anak lelakinya yang berusia 24 tahun.
Kejadian itu mengorbankan 15 orang, dan disifatkan sebagai kejadian tembakan beramai-ramai terburuk di negara itu dalam hampir tiga dekad.
Menurut sepupu Ahmed, Mustafa, pihak hospital telah memaklumkan kepada keluarganya bahawa keadaan Ahmed stabil selepas menjalani pembedahan, walaupun dia masih dirawat.
Keberanian Ahmed telah menerima pujian meluas daripada pemimpin tempatan dan antarabangsa. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan tindakannya sebagai amat berani dan dipercayai telah menyelamatkan banyak nyawa. Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns, menyifatkan Ahmed sebagai wira sejati dan menggambarkan rakaman kejadian itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
Dalam perkembangan lain, satu kempen dalam talian, GoFundMe telah dilancarkan bagi membantu Ahmed, dengan sumbangan melebihi A$200,000 dikumpulkan dalam tempoh beberapa jam. Antara penyumbang terbesar ialah daripada bilionair, Bill Ackman, yang menyumbang hampir A$100,000 dan berkongsi kempen tersebut di akaun media sosialnya.
-BTSMedia.my



