BTS Media

UUM jelas isu keselamatan punca lokasi majlis graduasi SADA diubah

PENGURUSAN Universiti Utara Malaysia (UUM) memaklumkan bahawa keputusan untuk tidak menggunakan Dewan Mu’adzam Shah bagi penganjuran Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) dibuat lebih awal berikutan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, sekali gus menolak dakwaan bahawa tindakan tersebut dipengaruhi faktor politik.

Menurut universiti itu, hasil pemeriksaan keselamatan mendapati berlaku kerosakan pada struktur bumbung dewan berkenaan susulan hujan lebat yang melanda kawasan kampus sebelum tarikh majlis, justeru menyebabkan ia tidak sesuai digunakan untuk program berskala besar.

UUM menjelaskan bahawa keputusan berhubung perubahan lokasi telah dimuktamadkan pada 1 Disember 2025 dan bukan dibuat pada saat akhir seperti yang dituduh.

Pihak universiti berkata bahawa  kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan infrastruktur sedang dilakukan pada Dewan Mu’adzam Shah, termasuk penggantian bumbung, yang telah dimaklumkan secara rasmi lebih awal kepada warga kampus.

Difahamkan, projek menaik taraf tersebut dijadualkan berlangsung dari bulan Mei 2025 hingga bulan November 2027 dan hanya ditangguhkan sementara bagi membolehkan penganjuran Majlis Konvokesyen UUM sebelum ini.

Pihak universiti menegaskan bahawa sebagai sebuah institusi awam, keselamatan serta kebajikan pengunjung menjadi keutamaan dan sebarang risiko tidak boleh diambil. Atas pertimbangan itu, penggunaan dewan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan bagi majlis graduasi SADA.

Walaupun berlaku pertukaran lokasi, UUM berkata bahawa sokongan terhadap penganjuran majlis graduasi tersebut tetap diteruskan, termasuk penyediaan pinjaman jubah, kemudahan tempat duduk serta keperluan logistik lain bagi memastikan majlis berjalan lancar.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan UUM yang didakwa membatalkan penggunaan dewan bagi majlis graduasi berkenaan pada saat akhir, selain mengaitkan keputusan tersebut dengan perbezaan fahaman politik.

Majlis graduasi itu kemudiannya diadakan di lokasi alternatif bagi meraikan seramai 315 warga SADA yang menamatkan pelbagai program pengajian, termasuk sijil kemahiran, sijil eksekutif dan program kepimpinan strategik melalui kerjasama Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE).

-BTSMedia.my

Leave a Comment