BTS Media

Kakak, rakan rapat Jho Low diperintah bayar US$2.8 Bilion kepada 1MDB

MAHKAMAH Tinggi telah memerintahkan adik perempuan Jho Low, Low May Lin, serta rakan rapatnya, Eric Tan, membayar kira-kira US$2.8 bilion kepada 1MDB setelah mereka gagal hadir ke mahkamah dan tidak mengemukakan pembelaan.

Menurut keputusan perintah ingkar, pihak mahkamah berpuas hati bahawa 1MDB telah mengemukakan bukti kukuh, termasuk rekod bank, pengesahan SWIFT, dokumen pembukaan akaun dan carta aliran dana, yang menunjukkan dana tersebut telah dialihkan ke entiti luar negara dan individu berkaitan.

Low May Lin diarahkan membayar US$809,319, manakala Eric Tan diperintahkan membayar US$2.795 bilion. Mahkamah menyimpulkan bahawa dana yang diterima mereka merupakan hasil penyalahgunaan aset korporat milik 1MDB.

Hakim yang mendengar kes itu menjelaskan bahawa kedua-dua defendan disahkan menerima dokumen mahkamah tetapi tidak menghadirkan diri atau membela diri, menyebabkan kes diteruskan tanpa kehadiran mereka.

Kes ini merupakan sebahagian daripada tindakan sivil lebih besar oleh 1MDB dan beberapa anak syarikatnya untuk mendapatkan kembali dana yang didakwa diseleweng.

-BTSMedia.my

Leave a Comment