SEORANG lelaki berusia 63 tahun maut selepas batang penyambung besi seberat 100 kilogram tercabut daripada sebuah lori tipper, terpelanting ke jalan dan menembusi cermin hadapan kereta yang dinaikinya pagi tadi di Batu Pahat, Johor.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi di Jalan Sri Bengkal, berhampiran Sri Gading.
Mangsa, Juhari Murid, dalam perjalanan bersama ahli keluarganya dari Senggarang ke Felda Pemanis di Segamat.
Juhari mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Isterinya, Zaina Khalid, 58, serta tiga lagi ahli keluarga termasuk pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, ketika kenderaan keluarga itu melalui sisi lori berkenaan, batang besi tersebut tercabut dari kenderaan berat itu sebelum terhempas pada kereta.
Anak mangsa, Noor Shahin, 31, berkata dia terkejut menerima panggilan daripada sepupu memaklumkan tragedi tersebut.
“Saya ada rasa tak sedap hati bila ayah hendak ke Segamat. Saya tak sangka akan kehilangan insan yang saya sayangi,” katanya sambil menjelaskan dia bergegas dari Muar ke Hospital Sultanah Nora Ismail selepas menerima berita itu.
Dia berkata perbualan terakhirnya bersama arwah melalui panggilan video semalam memperlihatkan ayahnya teruja untuk bertemu cucunya yang berusia tiga bulan hari ini.
“Sepatutnya saya bawa anak untuk berjumpa dengannya, tetapi kini saya pulang untuk melihat jenazah ayah,” katanya sebak.
Seorang lagi anak mangsa, Mohd Danis Hakim, 22, menuntut tindakan tegas diambil terhadap pemilik atau syarikat lori sekiranya wujud unsur kecuaian yang menyebabkan kematian ayahnya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan laporan mengenai kejadian telah diterima.
-BTSMedia.my



