BTS Media

Amaran terhadap iklan, promosi perubatan tidak terkawal di media sosial

MAKLUMAT kesihatan sememangnya mudah mempengaruhi orang ramai, dan trend iklan produk kesihatan yang dipromosi sebagai ubat semakin mengaburkan garis antara pendidikan dan pujukan, sekali gus meningkatkan risiko salah faham, maklumat palsu dan rawatan tidak perlu.

Dalam surat yang disiarkan oleh NST, Dr Nor Azlida Mohd Nor dan Dr Anis Nadhia Roslan dari Universiti Malaya menegaskan bahawa taktik pemasaran perubatan yang tidak terkawal semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian awam.

Mereka berkata bahawa testimoni dan “review” pesakit kini menjadi antara strategi paling meragukan.

Walaupun ulasan dalam talian sering dianggap sebagai pengalaman “dunia sebenar”, ia sukar disahkan, mudah dimanipulasi, dan ada pihak hanya menonjolkan ulasan positif, menyebabkan jangkaan tidak realistik.

Penglibatan doktor, doktor gigi atau ahli farmasi dalam iklan juga menimbulkan keraguan kerana penampilan tersebut boleh dipengaruhi kerjasama komersial, walaupun masyarakat menyangka ia berasaskan bukti klinikal.

Negara seperti United Kingdom dan New Zealand membenarkan testimoni oleh pihak profesional kesihatan, tetapi dengan syarat ketat termasuk bukti dan penafian jelas.

Fenomena pempengaruh media sosial kini menambah risiko apabila ramai individu tanpa kelayakan mempromosikan produk atau perkhidmatan kesihatan – daripada suplemen hingga rawatan kecantikan menggunakan kandungan santai yang mudah dipercayai mereka yang lurang bermaklumat.

China baru-baru ini memperkenalkan peraturan ketat yang mewajibkan kelayakan sah bagi pempengaruh yang berbicara tentang topik khusus seperti perubatan.

Lebih membimbangkan, imej dan video dijana AI kini digunakan untuk menunjukkan hasil rawatan yang “sempurna” tetapi tidak realistik, justeru menyebabkan orang ramai membandingkan diri dengan standard mustahil. Promosi secara livestream dengan tawaran masa terhad dan tekanan emosi turut meningkatkan keputusan apabila dipengaruhi.

Kedua-dua doktor menegaskan bahawa kesedaran awam ialah benteng terbaik. Memahami teknik iklan moden adalah kunci untuk membuat keputusan yang tepat demi kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan kewangan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment