DALAM beberapa hari kebelakangan ini, ramai pengguna menerima SMS meminta memuat turun aplikasi SaveME 999.
Aplikasi ini dilancarkan sebagai sebahagian daripada platform Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999), yang bertujuan menyediakan akses lebih cekap kepada Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Semasa perjanjian pembangunan antara TM dan kerajaan ditandatangani pada pertengahan tahun 2024, NG999 diunjur akan meningkatkan perkongsian data antara semua agensi respon kecemasan.
Sistem baharu ini juga menggabungkan peta digital berasaskan web, nombor pemanggil, geolokasi dan aplikasi mudah alih untuk mempercepatkan tindak balas kecemasan di seluruh negara.
Aplikasi SaveME 999 kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, namun setakat ini hanya menerima penilaian sekitar 1.8 bintang di App Store dan 2.9 bintang di Play Store.
Menurut paparan skrin pemuatan aplikasi, SaveME 999 ialah inisiatif kerajaan Malaysia yang diterajui Kementerian Komunikasi, tetapi pembangunnya menyebut Jabatan Digital Negara di bawah Kementerian Digital. Laporan daripada Soya Cincau turut menyorot kekeliruan ini.
Proses pendaftaran yang panjang
Untuk menggunakan SaveME 999, pengguna perlu melalui proses pendaftaran yang agak panjang. Selain mencipta nama pengguna dan kata laluan, aplikasi ini turut memerlukan pengesahan ID dengan mengambil gambar MyKad atau dokumen pengenalan. Pengguna juga perlu mengesahkan alamat emel melalui OTP serta mengisi maklumat tambahan seperti alamat rumah.Bagi mendapatkan OTP sahaja, ramai yang mengadukan ia amat memeninglkan kerana mungkin kesesakan talian menyebabkan tiada respon daripada “server”.
Lebih menghairankan, aplikasi ini tidak menyokong MyDigital ID sebagai pilihan log masuk, walaupun ia sepatutnya menjadi standard bagi aplikasi kerajaan pada masa hadapan, seperti di uar-uarkan.
Ciri dan penggunaan SaveME 999
Selepas pendaftaran, pengguna perlu log masuk sama ada melalui biometrik atau kata laluan. Dalam situasi kecemasan, langkah tambahan seperti log masuk dianggap tidak membantu kerana melambatkan tindakan.
Dalam ujian pada iPhone, fungsi biometrik tidak menggunakan FaceID dan hanya menerima PIN enam digit peranti. Setelah berjaya log masuk, aplikasi menawarkan dua pilihan: ‘Slide to Call 999’ atau ‘Slide to Send Report’.
Fungsi panggilan hanya meniru panggilan 999 biasa, tetapi pilihan menghantar laporan membolehkan pengguna menyertakan alamat semasa, jenis kejadian, nota suara dan video. Maklumat tambahan ini boleh membantu pasukan kecemasan memahami keadaan dengan lebih tepat. Namun demikian, ciri ini memerlukan sambungan internet yang stabil, sekali gus menyukarkan penggunaan di kawasan liputan 4G lemah.
Terlalu banyak aplikasi 999
Terdapat sekurang-kurangnya tiga lagi aplikasi SaveME 999 lain yang terdapat sekarang: SaveME 999 untuk orang pekak, SaveME 999 untuk orang buta dan SaveME 999 Polis.
Aplikasi-aplikasi lama ini menyebabkan kekeliruan dan membebankan pengguna. Pendekatan lebih baik ialah menggabungkan semuanya dalam satu aplikasi yang menyediakan antaramuka khas untuk golongan OKU.
Sebagai perbandingan, telefon pintar moden memang pun mempunyai ciri Emergency SOS terbina dalam, seperti menekan butang “power” lima kali pada Android atau menekan dua butang sisi pada iPhone. Jika diaktifkan, telefon akan menghubungi perkhidmatan kecemasan bersama lokasi dan maklumat penting lain. Sesetengah peranti flagship terkini malah menyokong SOS melalui satelit.
Pemerhati teknologi berpendapat bahawa daripada membangunkan aplikasi rasmi kerajaan baharu, lebih baik jika MERS bekerjasama rapat dengan pengeluar peranti dan platform untuk integrasi kecemasan yang lebih mantap.
-BTSMedia.my



