SEBUAH kedai dandanan kucing memaklumkan bahawa seorang lelaki meninggalkan seekor kucing bersama lima anaknya di belakang premis berkenaan, sehingga mendorong pihak kedai membuat laporan polis.
Menurut pihak kedai tersebut, kejadian pembuangan kucing semakin kerap berlaku di kawasan Catesyes Hotel & Grooming, di mana terdapat banyak anjing liar berkeliaran pada waktu malam.
Satu video tular menunjukkan seorang lelaki memakai ketayap menaiki Perodua Viva melepaskan kucing berkenaan bersama anak-anaknya di bahagian belakang premis pada 14 November.
Dalam video tersebut, kelihatan anak-anak kucing tersebut berlari berselerakan dalam keadaan keliru selepas dikeluarkan dari kereta.
Pihak kedai, yang menzahirkan rasa kecewa berkata, orang ramai diingatkan agar tidak bertindak kejam, kerana membuang kucing bukanlah penyelesaian sekiranya tidak lagi mampu menjaganya. Ini kerana kucing adalah makhluk bernyawa dan bukan barang untuk dibuang sesuka hati.
Kesemua lima anak kucing tersebut, bagaimanapun, berjaya diambil untuk dipelihara, namun kucing dewasa itu tidak dapat dikesan.
-BTSMedia



