BTS Media

RM500,000 diperlukan untuk bawa pulang jemaah haji sakit dari Makkah

SEJUMLAH RM500,000 diperlukan bagi menampung kos membawa pulang seorang jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang sudah berbulan-bulan dirawat di sebuah hospital di Makkah.

Setakat ini, sumbangan hampir mencecah RM10,000 melalui akaun khas kendalian Jakim dan Yayasan Wakaf Malaysia, bagi membantu usaha membawanya pulang.

Asmah, yang menghidap radang paru-paru, difahamkan tidak lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Saudi German, di mana dia mula dirawat sejak 13 September.

Kos tinggi membawa pulang itu dikaitkan dengan keperluan penggunaan ventilator berterusan, termasuk sepanjang penerbangan kira-kira sembilan jam ke Malaysia. Anggaran tersebut dibuat oleh seorang pakar perubatan di Arab Saudi dan pegawai kesihatan Tabung Haji.

Asmah berada di tanah suci hampir empat bulan dan pernah menyatakan harapannya untuk kembali ke tanah air. Petugas Tabung Haji terus memantau keadaannya dan memberikan sokongan moral dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Islamic Tabung Musa’adah Jakim–Yayasan Wakaf Malaysia (8602218186) dengan rujukan “Hajjah Asmah binti Mansor”.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment