BTS Media

UPKO keluar daripada Pakatan Harapan, tumpu perjuangan Sabah

PERTUBUHAN Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan penarikan diri secara rasmi daripada Pakatan Harapan (PH) bagi menumpukan semula haluan politiknya kepada perjuangan “Sabah First” yang menjadi asas kepimpinan dan aspirasi parti itu sejak sekian lama.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang berkata keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti yang diadakan hari ini.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap peletakan jawatan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Nelson menjelaskan bahawa tindakan Ewon berundur daripada Kabinet adalah berasaskan prinsip selepas beliau tidak sehaluan dengan tafsiran dan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding semakan kehakiman berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil negeri Sabah yang difailkan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Menurut Nelson, penglibatan UPKO dalam PH sejak empat tahun lalu berteraskan agenda “Sabah First” yang diperjuangkan dalam rundingan manifesto pilihan raya PH serta perbincangan dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh pengerusi PH.

Namun, katanya, perbezaan pendirian dan tafsiran antara UPKO dan parti komponen nasional PH semakin ketara, khususnya dalam pelaksanaan hak hasil 40 peratus untuk Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan memberi autonomi pentadbiran kepada PH Sabah.

“Walaupun UPKO telah dipilih untuk mempengerusikan PH Sabah melalui mesyuarat sah di peringkat negeri, keputusan itu tidak pernah disahkan oleh Majlis Presiden PH kerana bantahan daripada PKR Sabah. Malah keputusan yang dibuat melalui proses pemilihan yang sah turut menerima kritikan terbuka,” katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun Ewon kemudian dilantik sebagai “penyelaras”, keputusan berhubung persiapan pilihan raya dalam PH tetap dibuat oleh PKR tanpa memberi autonomi sebenar kepada kepimpinan PH Sabah.

Selepas penilaian dalaman dibuat, UPKO berpendapat hanya parti berasaskan Sabah benar-benar memahami denyut nadi, aspirasi dan hala tuju masa depan negeri sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Nelson menegaskan bahawa UPKO kekal berpendirian hak hasil 40 peratus adalah hak mutlak negeri yang berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan.

Beliau berkata UPKO terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan lain yang berkongsi agenda “Sabah First” bagi memperjuangkan pelaksanaan sebenar MA63 serta hak perlembagaan Sabah.

“Hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri penting untuk dikekalkan, tetapi ia mesti berlandaskan semangat, niat dan maksud MA63,” katanya.

Tambahnya lagi, setelah menilai penyertaan UPKO dalam PH dan mengambil kira seruan rakyat Sabah agar parti-parti tempatan bersatu menjelang pilihan raya negeri akan datang, Majlis Tertinggi sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu serta-merta.

“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponennya,” ujar Nelson.

Beliau turut menjelaskan bahawa dua Ahli Parlimen UPKO, Datuk Ewon Benedick (Penampang) dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tuaran), akan terus mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong bagi mengekalkan kestabilan Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal semasa.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment