Oleh Fetty Rara
AHLI Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee tetap kekal setia bersama Bersatu Sabah walaupun pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor telah membawa keluar sebahagian besar ahli hari ini.
“Saya masih ketua bahagian Bersatu Beluran. Saya kekal bersama Bersatu Sabah,” kata naib presiden Bersatu itu ketika dihubungi, lapor The Star.
“Saya dengar mereka mengadakan perhimpunan pada malam Jumaat (9 Dis) apabila membuat keputusan. Saya tidak dijemput atau dimaklumkan mengenainya,” kata beliau.
Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Hajiji tidak boleh “menutup” Bersatu di Sabah, sambil menambah bahawa beliau percaya parti itu masih akan mengekalkan banyak akar umbinya kerana mereka yang keluar tidak mendapat restu ahli parti.
Hajiji berkata, beliau tahu beberapa ketua bahagian berfikir dua kali mengenai keputusan itu, dan itu adalah hak mereka untuk memilih apa sahaja yang mereka mahu.
“Mereka boleh mewajarkan tindakan mereka dengan apa jua alasan. Ahli parti berhak membuat keputusan sendiri,” tambahnya.
“Bersatu kekal di Sabah, kita akan binanya semula,” tambah beliau.
Bekas menteri pertanian dan industri makanan itu mengekalkan kerusi Beluran atas tiket Perikatan Nasional selepas kerusinya diperuntukkan kepada Barisan Nasional di bawah pakatan pembahagian kerusi pilihan raya antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan.
Difahamkan tidak semua ketua bahagian Bersatu Sabah hadir pada pertemuan dengan Hajiji pada malam Jumaat.
Empat Ahli Parlimen GRS dari Bersatu – Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar) dan Datuk Jonathan Yassin (Ranau) nampaknya tidak hadir.
Bagaimanapun, difahamkan empat ahli Parlimen itu adalah ahli langsung GRS tetapi mungkin tidak menghadiri mesyuarat itu kerana mereka mungkin mahu kekal sebagai ahli Bersatu kerana kemungkinan melanggar undang-undang anti-lompat.
-BTS Media