Thailand menggantung perjanjian damai yang baharu dimeterai dengan Kemboja selepas satu letupan periuk api berhampiran sempadan mencederakan dua anggota tentera Thai, lapor Bloomberg.
Menurut satu sumber, Perdana Menteri Anutin Charnvirakul telah mengarahkan penggantungan segera semua aktiviti di bawah perjanjian damai Kuala Lumpur, yang ditaja oleh Malaysia dan Amerika Syarikat.
Penggantungan ini berlaku hanya sebulan selepas perjanjian itu ditandatangani. Susulan itu, pembebasan 18 askar Kemboja yang ditahan sejak pertempuran sempadan pada bulan Julai lalu digantung.
Kejadian berlaku ketika pasukan tentera Thai menjalankan rondaan rutin di wilayah Si Sa Ket.
Pegawai tentera Thai percaya bahan letupan tersebut, yang dipasang baru-baru ini, menjadikannya letupan ketujuh dalam tempoh empat bulan. Siri serangan itu telah mencetuskan semula ketegangan di kawasan sempadan Thai-Kemboja yang lama bergolak, terutamanya berhampiran Kuil Preah Vihear.
Dalam kenyataannya kepada media, Anutin berkata bahawa keganasan terbaharu menunjukkan “permusuhan belum reda” seperti yang dijangka, sambil menegaskan bahawa semua langkah kerjasama akan dibekukan sehingga “keadaan lebih jelas.”
Thailand sebelum ini merancang untuk memulakan operasi pembersihan periuk api serta pengunduran senjata berat dari kawasan pertikaian antara bulan November dan Disember.
Kementerian Pertahanan Kemboja setakat ini belum memberikan sebarang komen berhubung penggantungan tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand dijangka melawat askar yang cedera di Si Sa Ket dan mempengerusikan mesyuarat bagi menilai semula pendirian negara itu terhadap perjanjian damai tersebut.
Perjanjian damai itu ditandatangani di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025 sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Ia dianggap langkah penting ke arah memulihkan kestabilan antara kedua-dua negara jiran tersebut. Namun, kejadian terbaharu ini menimbulkan keraguan terhadap masa depan gencatan senjata rapuh itu serta menyerlahkan cabaran besar yang dihadapi Asean dalam usaha mengekalkan keamanan serantau.
-BTSMedia.my



