TIMOR-LESTE secara rasmi diterima sebagai ahli ke-11 Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean), justeru menandakan perluasan pertama blok serantau itu dalam tempoh lebih dua dekad.
Perkembangan bersejarah itu disahkan melalui penandatanganan “Declaration on the Admission of Timor-Leste into Asean” semasa pembukaan Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan upacara simbolik pengibaran bendera kebangsaan Timor-Leste bersama bendera negara-negara anggota lain, menandakan kemasukan rasmi negara itu ke dalam keluarga Asean.
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão menyifatkan kemasukan tersebut sebagai detik bersejarah bagi negaranya, yang melambangkan penutup kepada satu perjalanan panjang dan permulaan bab baharu dalam komuniti Asean.
Beliau dipetik berkata bahawa peristiwa itu merupakan kesinambungan kepada visi Asean dalam menyatukan negara-negara yang berkongsi nilai, aspirasi dan takdir bersama.
Gusmão turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota Asean, Sekretariat Asean serta rakan dialog atas sokongan terhadap penyertaan Timor-Leste.
Beliau menambah bahawa penyertaan Timor-Leste mencerminkan komitmen negara itu terhadap prinsip perpaduan, kerjasama dan solidariti serantau yang menjadi teras Asean, sambil menyifatkan keahlian tersebut sebagai langkah semula jadi dan strategik ke arah pembangunan jangka panjang negara itu.
Sebelum ini, Kemboja merupakan negara terakhir yang menyertai Asean pada April 1999 sebagai ahli ke-10.
Timor-Leste, yang memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada tahun 2002 selepas referendum yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah memohon keahlian Asean pada 2011. Negara itu diberikan status pemerhati pada 2022 sebelum diterima sebagai ahli penuh hari ini.
 – BTSMedia.my



