KERAJAAN akan memberi potongan sehingga 70 peratus bagi bayaran saman trafik bermula bulan depan, sebagai langkah galakan kepada orang ramai untuk menjelaskan tunggakan sebelum pelaksanaan sistem penguatkuasaan baharu pada awal tahun 2026.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam sidang media di Parlimen bahawa tawaran diskaun itu akan berlangsung dari 1 November hingga 30 Disember 2025, dengan slogan “lebih cepat bayar, lebih rendah dibayar” bagi menggalakkan penyelesaian awal saman.
Saifuddin berkata, antara 2022 hingga 2025, hasil kutipan saman trafik oleh PDRM mencecah RM640 juta, namun majoriti rakyat hanya melunaskan saman apabila diskaun diumumkan.
“Diskaun ini tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti kenderaan tanpa insurans, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), dan penggunaan LKM palsu,” katanya.
Sepanjang tempoh tawaran, pesalah trafik boleh menjelaskan saman kompaun JPJ dan PDRM dengan kadar potongan antara 50% hingga 70%. Selepas itu, dasar baharu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2026, di mana tiada lagi pengurangan diberikan jika bayaran dibuat selepas 60 hari.
Anthony Loke berkata kabinet pada 17 Oktober lalu telah meluluskan penyelarasan sistem pengeluaran kompaun bagi memastikan kadar dan prosedur antara JPJ dan PDRM.
“Kita mahu hentikan kekeliruan antara dua agensi penguatkuasaan ini. Dengan sistem tunggal nanti, kadar kompaun akan sama dan proses lebih telus. Prinsip baharu ini memberi ganjaran kepada mereka yang membayar awal,” katanya.
Mengikut struktur baharu bermula tahun depan, pesalah trafik yang membuat bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari akan menikmati diskaun 50 peratus, manakala bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari mendapat diskaun 33 peratus.
Bayaran antara 31 hingga 60 hari akan dikenakan kadar maksimum RM300, dan selepas hari ke-61, pesalah berkenaan boleh disenarai hitam.
Kedua-dua menteri turut menyeru orang ramai agar mengambil peluang menjelaskan saman tertunggak sebelum akhir bulan Disember 2025 untuk menikmati potongan besar.
Orang ramai boleh menyemak status saman dan membuat bayaran melalui aplikasi MySikap, MyJPJ, dan MyBayar PDRM, atau di kaunter serta kiosk rasmi agensi terlibat.
-BTSMedia.my