USAHA untuk mengatasi gejala samseng jalanan atau ‘mat rempit’ memerlukan strategi lebih meluas dan bukan sekadar mengenakan hukuman yang lebih berat.
Menurut pakar, pendekatan merangkumi program pemulihan wajib, pendidikan keselamatan jalan raya, serta penglibatan ibu bapa juga perlu.
Memetik laporan The Star, beberapa pakar memberikan pandangan mereka mengenai isu ini.
Pakar kriminologi, Dr. P. Sundramoorthy, mencadangkan agar pesalah tegar atau ganas dikenakan hukuman penjara mandatori, manakala motosikal mereka dirampas dan dilupuskan.
Beliau berpendapat jika pesalah di bawah umur, ibu bapa atau penjaga mereka wajar dipertanggungjawabkan.
Menurut Dr. Sundramoorthy, walaupun Akta Pengangkutan Jalan sedia ada mempunyai penalti yang tinggi, langkah-langkah tersebut dilihat masih belum mencukupi.
Pakar lain turut menyokong keperluan untuk memberi tumpuan kepada pendidikan berbanding hukuman semata-mata.
Pakar keselamatan jalan raya, Profesor Madya Dr. Law Teik Hua, menyarankan agar pesalah diwajibkan menyertai kempen kesedaran komuniti atau berkhidmat di wad trauma hospital.
Langkah ini bertujuan untuk memberi mereka pendedahan secara langsung mengenai akibat buruk daripada tunggangan melulu.
Beliau percaya lesen pesalah hanya patut dikembalikan selepas mereka memenuhi syarat-syarat tersebut.
Sementara itu, Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh pula mengenal pasti isu-isu asas seperti kemiskinan dan tahap pendidikan sebagai antara faktor penyumbang kepada gejala ini dan mencadangkan agar kursus tunggangan selamat diberikan secara percuma atau bersubsidi.
Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), mereka yang disabitkan atas kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada ‘mat rempit’ yang dikenakan hukuman penjara yang berat.
 – BTS Media