KETEGANGAN dilaporkan tercetus sewaktu himpunan anti-Israel di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) apabila penunjuk perasaan menyekat jalan keluar masuk ke bangunan itu, yang membawa kepada perbalahan dengan pihak polis.
Menurut laporan, demonstrasi yang dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan untuk membantah penahanan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF).
Pihak berkuasa dikatakan telah cuba untuk meleraikan keadaan apabila para peserta mula menghalang lalu lintas, menyebabkan keadaan menjadi tegang.
Beberapa peserta ditahan kerana dikata mencetuskan provokasi, namun sama ada mereka dibawa ke balai polis tidak dapat disahkan dengan segera, lapor Malaysiakini.
Seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Ili Farhana, memaklumkan bahawa dua rakannya telah ditahan selepas kekecohan itu.
Dia berkata mungkin kedua-dua mereka dibawa ke balai polis Wangsa Maju.
Ili Farhana menegaskan bahawa mereka yang berhimpun tidak mewakili mana-mana NGO atau parti politik.
Sebaliknya, dia berkata mereka adalah rakyat Malaysia yang menuntut agar kekejaman terhadap Palestin dihentikan.
Dia turut menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan dan berusaha tegas bagi membebaskan para aktivis GSF yang ditahan.
Sehingga berita ini ditulis, dianggarkan kira-kira 40 orang berkumpul di hadapan kedutaan AS seawal pukul 12 tengah hari untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap Israel dan menuntut pembebasan aktivis GSF.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 7.50 pagi waktu Malaysia, apabila seramai 17 rakyat Malaysia terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.
Antara yang terlibat ialah Zizi Kirana yang berada di atas kapal Huga, dan Sul Aidil di atas kapal Alma.
 – BTS Media