BTS Media

Flotila Global Sumud kini 463 batu nautika dari Gaza

GAMBAR: Le Monde

FLOTILA Global Sumud (GSF) yang menuju ke Gaza (setakat waktu berita ini diterima semalam) berada 463 batu nautika dari wilayah yang dikepung tentera Zionis itu.

Menurut laporan agensi berita Anadolu (AA) pada hari Sabtu yang memetik kenyataan daripada pihak penganjur, kapal dan bot GSF telah menyambung semula pelayaran selepas terkandas seketika disebabkan beberapa masalah.

Flotila itu dianggarkan tiba di destinasinya dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

Dalam satu post di X, penganjur berkata flotila tersebut akan memasuki zon berisiko tinggi dalam masa dua hari, dan pada ketika itu, kewaspadaan serta solidariti global amat diperlukan.

Secara berasingan, Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza mendedahkan pada hari Sabtu bahawa sebuah lagi flotila, yang terdiri daripada 10 buah kapal awam, telah belayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di Catania, Sicily.

Flotila ini adalah usaha kerjasama dengan Freedom Flotilla Coalition dan membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, termasuk sembilan ahli parlimen yang dipilih dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Flotila Global Sumud, yang terdiri daripada kira-kira 50 buah kapal, memulakan pelayaran pada awal bulan ini dengan misi untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, terutamanya bekalan perubatan, ke Semenanjung Gaza.

Israel telah meutup penuh akses ke Gaza sejak 2 Mac, menghalang konvoi makanan dan bantuan memasuki Gaza, sekali gus memburukkan lagi krisis kebuluran.

Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli; kebanyakannya dirampas oleh kumpulan bersenjata Zaionis yang dilindungi oleh Israel.

Umum tahu bahawa Israel sering kali memintas kapal-kapal bantuan yang menuju ke Gaza.

-BTS Media

Leave a Comment