BTS Media

Nepal bergolak: Penunjuk perasaan ingkar perintah berkurung selepas 19 terbunuh

PENUNJUK perasaan di Nepal mengingkari perintah berkurung pada hari Selasa untuk meneruskan demonstrasi, sehari selepas tindakan keras oleh pihak berkuasa dipercayai mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang.

Bantahan yang pada mulanya tercetus akibat sekatan media sosial dan isu rasuah kerajaan itu berterusan, walaupun platform-platform tersebut telah diaktifkan semula.

Jurucakap polis Kathmandu, Shekhar Khanal, memberitahu media bahawa penunjuk perasaan telah melanggar perintah berkurung, mencetuskan tunjuk perasaan jalanan, kebakaran, merosakkan harta benda, termasuk yang dimiliki oleh ahli politik.

Perdana Menteri KP Sharma Oli telah mengarahkan siasatan terhadap keganasan itu dan berkata beliau akan mengetuai rundingan antara semua parti untuk mencari jalan penyelesaian.

Seorang menteri kerajaan, Prithvi Subba Gurung, turut mengesahkan bahawa sekatan media sosial telah ditarik balik dan kerajaan bersedia untuk berdialog dengan penunjuk perasaan.

Dilaporkan juga bahawa menteri dalam negeri bersama dua menteri lain telah meletak jawatan.

Seorang penunjuk perasaan pelajar, Yujan Rajbhandari, menuduh kerajaan melakukan pembunuhan dan kekejaman polis, serta menuntut kerajaan bertanggungjawab atas kematian yang berlaku.

Sementara itu, Amnesty International melaporkan penggunaan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar siasatan telus dan pantas dijalankan.

Pergolakan dikatakan berpunca daripada isu lebih mendalam, termasuk rasuah dan krisis kepercayaan terhadap kerajaan.

Akhbar tempatan, Kathmandu Post, menyifatkan sekatan media sosial itu sebagai satu cubaan untuk menyekat suara rakyat, pengangguran belia dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang rendah.

-BTS Media

Leave a Comment