BTS Media

Australia kuat kuasa perintah berkurung di bandar Alice Springs susulan keganasan

Oleh Yusoff A. Shariff

POLIS Australia menguatkuasakan perintah berkurung selama tiga malam pada hari Isnin di bandar pelancongan pedalaman Alice Springs selepas beberapa insiden keganasan, termasuk dakwaan serangan terhadap empat pegawai polis yang tidak bertugas.

Pesuruhjaya Polis Wilayah Utara Michael Murphy berkata keamanan awam terganggu sejak 72 jam yang lalu di Alice Springs.

Pegawai polis berkenaan diserang ketika mereka berjalan pulang dan tidak diketahui sama ada penyerang sedar bahawa mereka anggota polis.

Perintah berkurung berkuat kuasa mulai pukul 10 malam hingga pukul 6 pagi waktu tempatan.

Di bawah undang-undang baharu yang diperkenalkan pada bulan Mei, pesuruhjaya polis mempunyai kuasa untuk mengenakan perintah berkurung selama tiga hari bagi mengawal sebarang insiden keganasan, dan boleh meminta kerajaan melanjutkan tempoh tersebut.

Sebelum ini, perintah berkurung terhadap belia selama dua minggu telah diisytiharkan pada bulan Mac di Alice Springs susulan pergaduhan besar melibatkan kira-kira 150 orang.

Pemimpin masyarakat telah lama mengenal pasti penyalahgunaan alkohol sebagai faktor utama di sebalik keganasan itu.

Dalam satu sidang akhbar semalam, ketua menteri wilayah itu, Eva Lawler berkata apa yang berlaku di Alice Springs sejak beberapa hari lalu tidak boleh diterima, lapor Reuters.

“Perintah berkurung akan memberikan kuasa tambahan kepada polis untuk menangani situasi di Alice Springs.

“Inilah sebabnya kerajaan meluluskan undang-undang perintah berkurung pada bulan Mei.”

Alice Springs, sebuah bandar terpencil yang terletak kira-kira 2,000km  di barat laut Sydney,  merupakan pintu masuk ke beberapa tarikan pelancong utama Australia, termasuk monolit batu pasir merah gergasi Uluru, yang dahulunya dikenali sebagai Ayers Rock.

Kira-kira satu perlima daripada penduduk bandar ini terdiri daripada kaum Asli Australia, yang terpinggir dan pernah dimangsakan oleh kaum kulit putih sejak benua itu dijajah oleh Britain pada akhir abad ke-18.

-BTS Media

Leave a Comment