BTS Media

Netanyahu kata keganasan yang dilakukan di Gaza adalah ‘perjuangan suci’ Zionis

GAMBAR: Api daripada ledakan serangan tentera Zionis di Gaza.

 

Oleh Zainal AS Rashid

PERDANA Menteri rejim Zionis Israel Benjamin Netanyahu semalam berkata keputusan untuk meluaskan operasi darat di Semenanjung Gaza telah diluluskan sebulat suara oleh anggota Kabinet perang negara itu, lapor Anadolu.

Berucap pada sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Yoav Galant, dan Menteri Kerajaan Kecemasan Benny Gantz, Netanyahu mendakwa,“Ini baru permulaan. Pertempuran di Semenanjung Gaza akan menjadi sukar dan berpanjangan, dan kami bersedia untuk menghadapinya.”

Dia menyifatkan keganasan ke atas Gaza sebagai “perjuangan suci”.

“Pada minggu-minggu pertama perang, kami menumpaskan musuh secara besar-besaran untuk membantu pasukan kami memasuki wilayah Gaza dengan lebih selamat. Perang ini akan menjadi misi hidup kita.”

Mengenai cadangan Hamas untuk pertukaran tawanan, Netanyahu berkata Kabinet perang rejim tersebut telah membahaskan cadangan tersebut, “tetapi membincangkannya sekarang tidak akan membantu.”

Kepada soalan mengenai siapa yang bertanggungjawab ke atas kegagalan tentera dan perisikan pada 7 Oktober, Netanyahu berkata: “Selepas perang, kita semua mesti memberikan jawapan kepada soalan sukar. Terdapat kecuaian besar, dan ini akan disiasat secara menyeluruh.”

-BTS Media

Leave a Comment