PARLIMEN Thailand telah memilih Anutin Charnvirakul, pemimpin Parti Bhumjaithai, 58, sebagai perdana menteri.
Pelantikan ini menyusuli penyingkiran perdana menteri sebelum ini, Paetongtarn Shinawatra, yang dipecat selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan beliau telah melanggar peraturan etika.
Sebelum pemilihannya, Charnvirakul adalah timbalan perdana menteri dan memegang portfolio menteri dalam negeri dalam kerajaan yang diterajui oleh Parti Pheu Thai.
Walau bagaimanapun, Parti Bhumjaithai pimpinannya telah menarik diri daripada gabungan itu pada bulan Jun lalu berikutan kebocoran panggilan telefon antara Perdana Menteri Paetongtarndan Presiden Senat Kemboja, Hun Sen.
Panggilan itu telah mencetuskan kemarahan rakyat, dan menjadi asas bagi kes mahkamah yang membawa kepada penyingkiran Paetongtarn.
Untuk mendapatkan jawatan perdana menteri, Charnvirakul memerlukan sokongan sebahagian besar ahli Parlimen.
Parti Rakyat, parti pembangkang terbesar yang menguasai hampir satu pertiga daripada kerusi di Dewan Rakyat, berkata mereka akan menyokong beliau dengan syarat beliau berjanji untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan.
Parti Rakyat juga berkata bahawa mereka tidak akan menyertai kerajaan.
Charnvirakul mendakwa beliau mendapat sokongan daripada tujuh parti dan kumpulan lain, yang mewakili 146 kerusi Parlimen.
Bersama-sama dengan 143 kerusi Parti Rakyat, ini memberikan beliau sejumlah 289 penyokong, melebihi 247 undi yang diperlukan untuk menjadi perdana menteri.
Kerjaya politik Charnvirakul bermula dengan parti Thai Rak Thai, yang diasaskan oleh bapa Paetongtarn, Thaksin Shinawatra.
Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri kesihatan dan kemudian timbalan menteri perdagangan di bawah Thaksin pada tahun 2004 dan 2005.
Selepas Thai Rak Thai dibubarkan pada tahun 2007, Charnvirakul disekat daripada berpolitik selama lima tahun.
Beliau kembali pada tahun 2012 sebagai pemimpin Parti Bhumjaithai, yang mempunyai sokongan kuat di timur laut negara itu dan memenangi 70 kerusi dalam pilihan raya tahun 2023.
Dikenali dengan nama samaran “Noo,” atau “tikus” dalam bahasa Thai, Charnvirakul adalah anak kepada Chavarat Charnvirakul, seorang ahli perniagaan-politik yang pernah berkhidmat sebagai pemangku perdana menteri.
Beliau juga merupakan pewaris kepada syarikat pembinaan keluarganya, Stecon Group, yang membina bangunan Parlimen di Bangkok.
Charnvirakul, yang memiliki ijazah kejuruteraan industri dari Hofstra University di New York, mengekalkan hubungan rapat dengan golongan elit perniagaan dan tokoh politik berpengaruh.
-BTS Media