SEBUAH kumpulan pelajar telah mengumumkan bahawa pelajar-pelajar Indonesia dijadualkan mengadakan protes di bangunan parlimen di Jakarta pada hari Khamis.
Tindakan itu adalah kerana desakan supaya diadakan pertemuan dengan pihak kerajaan, yang bertujuan untuk menangani protes besar-besaran hingga mengakibatkan 10 kematian, masih belum terlaksana.
Protes minggu lalu, yang diketuai oleh gabungan pelajar, pekerja, dan kumpulan hak asasi, telah merebak ke seluruh Indonesia selepas sebuah kenderaan polis melanggar dan menyebabkan kematian seorang pemandu teksi motosikal.
Demonstrasi tersebut kadangkala bertukar menjadi ganas, dengan kumpulan hak asasi melaporkan sekurang-kurangnya 10 kematian dan lebih 1,000 kecederaan akibat rusuhan.
Kumpulan-kumpulan tersebut juga mengecam penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan.
Gabungan badan pelajar, BEM SI, berkata bahawa protes rakyat pada hari Khamis bukan kerana demonstrasi jalanan, tetapi disebabkan rasuah dan politisasi undang-undang.
Pada hari Rabu, sepuluh kesatuan pelajar telah mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen untuk menuntut siasatan bebas terhadap keganasan polis.
Mereka juga menbangkitkan isu jurang perbezaan antara elaun terlalu tinggi untuk penggubal undang-undang dengan keperitan ekonomi yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat Indonesia.
Walaupun timbalan speaker dewan menawarkan pertemuan dengan pihak kerajaan pada hari Khamis, namun pemimpin BEM SI, Muzammil Ihsan, berkata tiada tindakan susulan dibuat.
Protes ini adalah atas desakan oleh beberapa badan pelajar Indonesia dengan pelbagai kepentingan.
Dalam demonstrasi berasingan, pekerja dari kesatuan Gebrak juga akan mengadakan demonstrasi di Jakarta pada hari Khamis, bagi mengecam respons ganas, selain menuntut pembebasan mereka yang ditahan.
Human Rights Watch, sebuah kumpulan hak asasi yang berpangkalan di New York, pada hari Khamis melaporkan bahawa pihak berkuasa Indonesia telah menahan lebih 3,000 orang di seluruh negara.
Timbalan pengarah Asia bagi kumpulan itu Meenakshi Ganguly, menggesa pihak berkuasa agar tidak “bertindak balas terhadap protes mengenai dasar kerajaan dengan menggunakan kekerasan berlebihan dan menahan penunjuk perasaan secara salah.”
-BTS Media