RIBUAN pelajar di bandar-bandar utama Indonesia, termasuk Jakarta dan Makassar, tidak mempedulikan larangan kerajaan pada hari Isnin, 1 September, dan terus merancakkan protes.
Demonstrasi semalam menyusuli rusuhan hujung minggu yang meragut lapan nyawa, justeru menjadikannya keganasan terburuk di Indonesia dalam lebih dua dekad, lapor media antarabangsa.
Tujuk perasaan yang bermula seminggu bagi membantah perbelanjaan kerajaan yang dikatakan keterlauan, termasuk kadar elaun terlalu lumayan untuk ahli parlimen, bertukar menjadi rusuhan ganas selepas sebuah kenderaan polis melanggar dan membunuh seorang penunggan teksi bermotosikal.
Susulan itu, keganasan telah menyaksikan kediaman beberapa ahli politik dijarah, dan bangunan-bangunan kerajaan dipecah masuk dan dibakar.
Kekacauan ini merupakan cabaran terbesar kepada kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto sejak beliau memegang jawatan hampir setahun yang lalu.
Tertekan dengan keadaan ini, pada hari Ahad, Presiden Prabowo telah segera mengumumkan pengurangan elaun ahli parlimen sebagai tindakan bagi meredakan keadaan, namun masih memberi amaran bahawa pasukan keselamatan akan bertindak tegas.
Walaupun begitu, pelajar-pelajar kelihatan tidak gentar, dan terus berhimpun.
Syamry, seorang pemimpin pelajar dari Universiti Makassar, berkata bahawa kenyataan presiden itu tidak memenuhi tuntutan pelajar dan masyarakat sivil, termasuk reformsi pasukan polis secara menyeluruh.
Namun demikian, Presiden Prabowo masih memihak kepada pihak polis. Beliau telah melawat  sebuah hospital untuk menghargai 40 anggota polis yang cedera semasa keganasan itu, sambil berkata bahawa walaupun beberapa pegawai mungkin bersalah, ramai juga yang berkorban demi ketenteraman negara.
Beliau juga berkata bahawabeberapa anggota polis yang terbabit akan dinaikkan pangkat.
Di beberapa bandar, protes terpaksa dibatalkan kerana kehadiran ribuan pasukan keselamatan dan kawalan ketat.
Perikatan Wanita Indonesia dan gabungan kesatuan pelajar kedua-duanya telah menangguhkan perhimpunan yang dirancang di Jakarta, kerana keadaan tidak memungkinkan dan bagi mengelakkan keganasan.
Pihak berkuasa melaporkan bahawa lebih 1,200 penunjuk perasaan telah ditahan dan lebih 700 orang cedera di Jakarta, dengan kerosakan infrastruktur dianggarkan bernilai AS$3.4 juta.
Protes berpanjangan ini juga telah mengganggu pasaran kewangan, dengan pasaran saham jatuh dan bon antarabangsa menunjukkan tanda-tanda tekanan.
Namun demikian, agensi penarafan S&P berkata walaupun protes itu tidak mungkin menjejaskan kestabilan politik, ia boleh membawa kepada peningkatan perbelanjaan sosial dan defisit fiskal yang lebih tinggi.
-BTS Media