SEPANYOL pada hari Jumaat mengumumkan bahawa mereka telah menggugurkan 12 tan makanan melalui udara ke Gaza, yang sedang mengalami kebuluran.
Menteri Luar Negeri Sepanyol, Jose Manuel Albares, berkata bahawa misi membabitkan 24 payung terjun, setiap satu mampu membawa 500 kilogram makanan, menyediakan bekalan yang cukup untuk 11,000 orang.
Albares turut berkata bahawa Sepanyol juga mempunyai konvoi yang sedang menunggu untuk memasuki Gaza melalui jalan darat dari Mesir.
Beliau mengecam “kebuluran yang disengajakan” oleh Israel, dan menyifatkannya sebagai sesuatu tindakan yang mengaibkan seluruh umat manusia.
Sepanyol juga sekeras-kerasnya menggesa Israel supaya membuka semua lintasan darat secara kekal bagi kemasukan bantuan kemanusiaan secara besar-besaran.
Sepanyol menyertai negara-negara Barat lain, termasuk Britain dan Perancis, dalam usaha menghantar bantuan ke Gaza melalui udara, dan dengan kerjasama negara-negara Timur Tengah.
Walau bagaimanapun, ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini, memberi amaran bahawa pengguguran udara sahaja tidak mencukupi untuk mencegah berlakunya kebuluran lebih serius, kerana ia jauh lebih mahal berbanding penghantaran melalui laluan darat.
Walaupun Israel baru-baru ini membenarkan lebih banyak trak bantuan memasuki Semenanjung Gaza, beberapa agensi bantuan antarbangsa menegaskan bahawa rejim Zionis itu boleh mempercepatkan lagi proses pemeriksaan sempadan dan membuka lebih banyak pos lintasan.
-BTS Media