JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan keselamatan dan audit ke atas syarikat bas yang terlibat dalam insiden kemalangan melibatkan kanak-kanak tadika baru-baru ini.
Kemalangan itu berlaku di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, mengesahkan bahawa laporan mengenai kejadian itu diterima pada hari Sabtu, 2 Ogos.
Beliau berkata JPJ telah menyerahkan laporan tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kemalangan yang berlaku sekitar pukul 12:18 tengah hari pada hari Sabtu itu melibatkan sebuah bas yang membawa 30 kanak-kanak tadika dan lima guru dalam satu rombongan.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad, berkata rakaman kamera dashcam yang tular di media sosial menunjukkan bas hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok.
Akibat insiden itu, tiga kanak-kanak dan seorang guru mengalami kecederaan di kepala dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Serdang.
Pemandu bas berusia 44 tahun itu ditahan dan direman selama dua hari bermula hari Ahad untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muhamad Farid turut memaklumkan dalam satu kenyataan pada hari Ahad bahawa siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat pemandu bas mengalami “microsleep” atau tidur seketika kerana tidak cukup rehat.
Walaupun hasil pemeriksaan mendapati pemandu tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol, rekod menunjukkan pemandu tersebut mempunyai 13 saman trafik.
-BTS Media