PERSEKUTUAN Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) memberi amaran bahawa sektor itu berisiko kerugian sehingga RM1 bilion jika kerajaan tidak segera merasmikan cuti umum 15 September.
FMM mendesak pewartaan segera bagi memberikan kejelasan yang sangat diperlukan oleh perniagaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan bahawa 15 September adalah cuti umum sempena Hari Malaysia.
Kementerian Sumber Manusia berkata ia wajib dipatuhi.
Bagaimanapun, FMM menegaskan bahawa pengesahan rasmi melalui pemberitahuan warta di bawah Akta Hari Kelepasan Am 1951 masih belum mencukupi.
Mereka menekankan bahawa ia sangat penting bagi membolehkan perniagaan merancang operasi, penjadualan tenaga kerja, dan memastikan pematuhan Akta Kerja 1955.
Presiden FMM Soh Thian Lai menjelaskan bahawa pengumuman cuti umum pada saat-saat akhir boleh mengganggu jadual pengeluaran, komitmen eksport, dan giliran kerja, terutamanya dalam sektor yang bergantung kepada operasi berterusan.
Beliau berkata bahawa mengisytiharkan hari Isnin, 15 September, sebagai cuti akan menyebabkan gangguan empat hari bagi kebanyakan pengilang, meliputi hari Sabtu hingga Selasa untuk operasi berasaskan syif.
Menurut Soh, gangguan sedemikian boleh menyebabkan barisan pengeluaran dihentikan dan untuk dimulakan semula, akan memakan kos, antara lain.
FMM menganggarkan bahawa bagi pengilang, setiap cuti umum tambahan yang tidak dirancang boleh mengakibatkan kerugian pengeluaran nilai sehingga RM1 bilion.
Kesannya amat teruk bagi industri berasaskan eksport dan mereka yang mempunyai barisan pengeluaran berterusan (continuous assembly line), seperti pembuatan keluli, pemprosesan makanan, dan bahan kimia.
Kumpulan itu juga berkata bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya, terpaksa bergelut untuk menyerap kos tambahan atau menguruskan kerja lebih masa dan menguba jadual syif.
FMM seterusnya berkata bahawa “pengumuman cuti secara rambang yang kerap tidak akan  membawa kebaikan kepada negara dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi dan meletakkan dirinya sebagai destinasi pelaburan kompetitif, boleh dipercayai, dan menarik.”
-BTS Media