BTS Media

Kerajaan didakwa nafi hak Dr. Mahathir bela diri dalam isu Batu Puteh

PEGUAM kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, hari ini membidas keputusan kerajaan untuk tidak mendakwa beliau berhubung peranannya dalam isu Batu Puteh.

Mereka berkata tindakan tersebut telah menafikan hak beliau untuk membela diri dan membuktikan kebenaran.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa tindakan undang-undang tidak akan diambil terhadap Mahathir atas dasar usia.

Dalam satu kenyataan media, peguam Zainur Zakaria dan Rafique Rashid Ali meluahkan rasa kecewa mereka kerana hak Tun Mahathir untuk membela diri telah dinafikan.

Sebagai peguam Tun Mahathir, mereka berkata bahawa mereka tidak diberikan peluang untuk menyoal balas anggota Jemaah Menteri yang didakwa kononnya ditipu oleh beliau.

Isu ini berakar daripada penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tahun lepas, yang mendapati Mahathir berkemungkinan sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri supaya menghentikan permohonan semakan berhubung kedaulatan Batu Puteh pada tahun 2018.

Ini berlaku meskipun terdapat pandangan daripada perunding antarabangsa yang menunjukkan permohonan tersebut mempunyai peluang yang munasabah untuk berjaya.

Susulan itu, pihak RCI telah mengesyorkan supaya laporan polis dibuat terhadap Mahathir, dan mencadangkan siasatan jenayah di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan atas tuduhan menipu.

Bagaimanapun, pada hari Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan mengambil tindakan walaupun Mahathir didapati “salah”, dengan alasan faktor usia beliau.

Sebagai respons, Dr. Mahathir sendiri melalui catatan di platform X semalam, menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan “kekebalan” berdasarkan usianya dan sepatutnya dibawa ke mahkamah untuk membuktikan sama ada beliau bersalah atau tidak.

Beliau berkata kini Anwar bertindak sebagai “hakim dan pendakwa” dalam perkara itu.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Zainur dan Rafique menegaskan bahawa bukan hak perdana menteri untuk membuat kesimpulan bahawa Mahathir telah melakukan jenayah atau salah laku semata-mata berdasarkan syor RCI. Mereka berkata bahawa terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Kedua-dua peguam turut membangkitkan isu pelanggaran prinsip keadilan semula jadi oleh RCI dalam menjalankan siasatan.

Mereka mendakwa Mahathir telah dihalang daripada hadir dan tidak dibenarkan membela diri terhadap dakwaan tersebut.

Zainur dan Rafique menjelaskan bahawa hak tersebut bukan sahaja termaktub dalam undang-undang biasa tetapi juga dalam bentuk hak berkanun, seperti dalam Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Mereka berkata bahawa hak asas ini dinafikan kepada Mahathir atas alasan siasatan itu hanyalah ‘inkuiri mencari fakta’, namun, penemuan dan cadangan suruhanjaya itu membuktikan sebaliknya.

-BTS Media

Leave a Comment