BTS Media

Mahathir bidas Wan Azizah, Mat Sabu, Loke berhubung isu Batu Puteh

BEKAS perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membidas bekas rakan kabinetnya berhubung kes Batu Puteh, dengan menegaskan semua mereka bersetuju dengan keputusan yang dibuat.

Respons ini adalah selepas tiga bekas menterinya itu mendakwa Mahathir hanya memaklumkan kabinet mengenai keputusan sebelah pihak untuk menggugurkan rayuan Malaysia berhubung kes Batu Puteh.

“Seingat saya, kabinet ada minit yang menunjukkan semua menteri bersetuju dengan pandangan itu.

Awal hari ini, bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri pengangkutan dalam kerajaan pimpinan Mahathir Anthony Loke, dan menteri pertahanan ketika itu Mohamad Sabu berkata bahawa Mahathir hanya memaklumkan kepada kabinet selepas beliau membuat keputusan itu.

Mahathir yang tidak terkesan dengan respons mereka, kemudian berkata secara menyindir sama ada mereka memerlukan kebenaran daripada beliau terlebih dahulu untuk memberikan pandangan atau pendapat berhubung perkara itu.

“Tidakkah mereka tahu apabila timbul sebarang isu, ia memerlukan semua anggota (kabinet) memberi perhatian dan jika mereka mempunyai pendapat, ia mesti disuarakan semasa mesyuarat?

Beliau berkata, jika mereka memilih untuk berdiam diri semasa mesyuarat, ia boleh dianggap bahawa mereka bersetuju dan meluluskannya.

Mahathir kemudiannya mengingatkan bekas rakan sekerjanya (dalam kabinet) tentang konsep tanggungjawab kolektif apabila membuat keputusan sebagai kerajaan ketika itu.

“Mereka mahu saya bertanggungjawab dalam perkara ini tetapi persoalannya, adakah mereka masih ingat untuk memikul tanggungjawab kolektif sebagai anggota kabinet?

“Jika tidak, ini bermakna mereka tidak menunaikan tanggungjawab mereka kerana mereka tidak menyuarakan pandangan tentang apa yang dimaklumkan semasa mesyuarat kabinet.”

-BTS Media

Leave a Comment