BTS Media

FRIM Selangor Forest Park diisytihar Tapak Warisan Dunia UNESCO

GAMBAR: Dilesenkan di bawah Wikimedia Commons.

FRIM Selangor Forest Park kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pengumuman rasmi dibuat semasa sesi ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang berlangsung di ibu pejabat UNESCO di Paris, Perancis baru-baru ini.

Kementerian menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat oleh 21 negara anggota jawatankuasa selepas melalui proses pencalonan yang bermula sejak tahun 2013.

FRIM Selangor Forest Park, yang dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Hutan Malaysia dianggap sebagai tapak yang istimewa kerana ia merupakan salah satu usaha awal pemulihan ekosistem hutan tropika secara besar-besaran dengan menanam semula pokok di kawasan bekas lombong bijih timah.

Menurut MOTAC, usaha ini telah menjadi contoh kepada dunia dalam pembinaan ekosistem hampir menyerupai hutan hujan tropika asli, yang kaya dengan kepelbagaian spesies pokok dan biodiversiti.

Kementerian turut menyatakan keyakinan bahawa pengiktirafan ini akan meningkatkan nilai FRIM Selangor Forest Park sebagai destinasi pelancongan penting di Selangor.

Selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, pencapaian ini dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa serta menyumbang kepada ekonomi negara, terutamanya komuniti setempat.

Dengan penambahan ini, Malaysia sekarang mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Tapak lain yang diiktiraf termasuk Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak (kedua-duanya pada tahun 2000), Melaka dan George Town (2008), warisan arkeologi Lembah Lenggong di Perak (2012), serta warisan arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak (2024).

Sehingga kini, sejumlah 1,223 tapak di seluruh dunia telah disenaraikan di bawah Konvensyen 1972 mengenai Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia.

-BTS Media

Leave a Comment